London: Jose Mourinho memulakan perang psikologi dengan Manuel Pellegrini apabila menyindir Manchester City sudah boleh membawa pulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
City ketika ini menduduki tangga kedua, satu mata ketinggalan berbanding Arsenal yang lebih dua mata di depan Chelsea yang menduduki tempat ketiga.
Namun di sebalik saingan yang dilihat lebih terbuka pada musim ini, Mourinho menegaskan hanya ada satu kelab saja yang layak dinobatkan sebagai juara pada Mei nanti.
“Sama-sama kita saksikan apa yang kami mampu lakukan dan lihat juga adakah City mampu menewaskan semua lawannya atau mereka hanya sekadar mampu merapatkan jurang dengan pasukan teratas,” kata pengendali dari Portugal itu.
“Adakah saya cuba untuk memberi tekanan kepada mereka? Adakah anda rasa begitu juga? “Lihatlah skuad, pemain, jumlah jaringan serta barisan penyerang mereka.
“Edin Dzeko adalah penyerang ketiga City. Benar, kita bercakap mengenai Dzeko.
“Stevan Jovetic pula penyerang keempat. Adakah mereka perlu berasa tertekan? Saya rasa tidak.
“Saya rasa mereka sedar betapa bagusnya mereka dan tahu mereka adalah pasukan pilihan. Saya tidak rasa mereka akan merasai tekanan,” katanya.
Mourinho bagaimanapun berkata, Blues masih berhak untuk dilabel sebagai pencabar kejuaraan.
“Tahun lalu pada peringkat sama, kami ketinggalan 12 atau 11 mata di belakang pendahulu liga, jadi sudah pasti tidak dapat memberi cabaran,” kata Mourinho yang menegaskan tidak berminat untuk mendapatkan penyerang baru di sebalik kekurangan jumlah gol yang dapat dijaringkan barisan penyerangnya ketika ini.
“Kini kami ketinggalan dua mata. Jadi saingan tetap diteruskan.
“Kami perlu berada dalam kelompok empat terbaik kerana untuk musim ini, berada dalam kedudukan itu sudah satu kejayaan besar untuk kami.
“Saya rasa enam pasukan bersaing untuk kelompok empat terbaik itu. Everton dan Newcastle juga semakin hampir berada dalam kedudukan empat terbaik itu tetapi Tottenham, Manchester United juga sedang mengejar.
“Tiada bezanya jika berada dalam kedudukan empat terbaik dengan pasukan yang dinobatkan selaku juara liga,” katanya. - Agensi
Hmetro.com.my