Saturday, 18 January 2014

' Saya Suka Malaysia '

Bagi Julia Pietrani, bergelar isteri kepada pemain bola sepak bukan bermakna dia perlu sepanjang masa melihat suaminya berlari dan menggelecek di tengah padang.

Tanggungjawab yang dipikulnya juga bukan sekadar menjaga anak-anak di rumah ketika suami keluar menjalani latihan harian malah sedar dia perlu menjadi contoh terbaik selaku penyeri rumah tangga.  
Julia, 33, adalah isteri kepada penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Juan Manuel Arostegui yang juga bekas pemain Boca Juniors serta pemain Piala Dunia Remaja Argentina dan beliau datang ke Malaysia buat kali kedua kerana mengikut suaminya itu. 

Arostegui adalah bekas pemain MPPJ FC yang meledak jaringan hatrik ketika menewaskan Sabah pada final Piala Malaysia 2003. Dua kali mewakili MPPJ pada 2003 hingga 2004 dan sekali lagi pada 2006 tetapi kali ini menyertai ATM selepas berhijrah dari Sportivo Belgrano.
Julia berkata, sejak berkahwin dengan Arostegui lapan tahun lalu, kehidupannya lebih menyeronokkan terutamanya selepas kehadiran dua anaknya, Juan Ignacio, 7, dan Maria Emilia, 4.

“Kenangan di Malaysia sangat banyak. Sebaik saja memenangi Piala Malaysia bersama MPPJ, Arostegui terus melamar saya dan kami berkahwin di Cordoba. 

Arostegui seorang yang kelakar, tidak pemarah dan tidak suka mencampur-aduk masalah bola sepak di rumah. Di padang dia mung­kin menyepak bola sekuat hatinya, tapi di rumah dia seorang suami dan bapa yang penyayang kepada dua anaknya. Balik saja dari padang latihan, terus mencari dan bergurau dengan anak-anaknya,” katanya. 

Julia berkata, Arostegui suka makan di rumah bersama keluarga. 

“Saya selalu masak apa disukainya. Jika saya tidak dapat menyediakan stik ala Argentina kegemarannya, kami akan cuba mencari makanan berkenaan di restoran Inggeris atau restoran antarabangsa di Kuala Lumpur. Dia suka makanan Malaysia seperti mee goreng, nasi goreng dan juga tomyam,” katanya. 

Selain itu, Julia mengakui kedatang­annya ke Malaysia mendorongnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. 

Seorang yang suka merendah diri, Julia meninggalkan pengajian ijazah psikologi di sebuah universiti di Argentina dan menutup butik menjual pakaian kanak-kanak miliknya kerana mahu memastikan dia dapat memberikan sokongan penuh terhadap kerjaya bola sepak Arostegui. 

“Saya mahu belajar dan memperbaiki bahasa Inggeris. Belajar di rumah untuk memudahkan kami membawa diri ke mana saja. Tahap bahasa Inggeris saya sekarang seperti biasa saja dan yakin ia boleh diperbaiki. 

“Lagipun, Juan akan memasuki sekolah antarabangsa minggu depan, jadi saya mahu menjadi guru Inggeris kepada dua anak saya di rumah,” katanya. 

Julia berkata, dia jarang mengikuti Arostegui berlatih di padang. 

“Di Malaysia atau Argentina, saya tidak ikut ke padang. Saya duduk di rumah kerana saya rasa saya perlu berada di rumah.” 

Julia berkata, mereka sekeluarga seronok tinggal di Malaysia. 

“Malaysia sebuah negara aman, selamat dan masyarakat di sini mengambil berat. Saya tidak rasa seperti orang asing. Malaysia adalah rumah kedua kami. Jurulatih ATM, B Sathianathan juga banyak mengajar kami budaya Malaysia. 

“Saya juga rasa selesa apabila ada wartawan mahu menemuramah kami membuatkan kami merasakan orang Malaysia baik. Arostegui membuatkan kami ceria dan saya gembira serta seronok berada di Malaysia. Melihat lebih dekat negara ini berbanding mendengar cerita orang dan sekadar melihat peta dunia. Kami mahu melihat Pulau Pangkor dan Pulau Perhentian serta pergi bersama keluarga yang juga rakan sepasukan ATM, Bruno Martelotto,” kata­nya.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets