Tuesday, 21 January 2014

Seedorf Mula Langkah Kanan

Milan: Jurulatih AC Milan, Clarence Seedorf percaya kelab gergasi Serie A itu kembali menikmati keseronokan bermain bola sepak meskipun terpaksa mengharapkan gol kemenangan lewat permainan menerusi sepakan penalti Mario Balotelli untuk menumpaskan Verona 1-0, awal pagi semalam.

Seedorf menjadi harapan untuk menyelamatkan Milan selepas jurulatih, Massimiliano Allegri dipecat angkara kekalahan 3-4 di tangan Sassuolo minggu lalu yang mengakibatkan Rossoneri ketinggalan 30 mata dengan pendahulu liga, Juventus.

Pada perlawanan pertama di bawah kendaliannya bersama pasukan yang beliau wakili sebanyak 300 kali dalam tempoh 10 tahun (2002-2012), Seedorf menerapkan formasi serangan 4-2-3-1 dengan Robinho, Kaka dan bintang Jepun Keisuke Honda bermain di belakang Balotelli.
Biarpun mencipta banyak peluang menentang pasukan pelawat yang dibimbing Andrea Mandorlini, Milan terpaksa bergantung kepada jaringan penalti Balotelli pada minit ke-82 untuk mengesahkan kemenangan keenam dalam 20 perlawanan.

“Kami menghadiahkan kemenangan ini kepada jurulatih baru,” kata Balotelli. “Ini perlawanan pertama beliau mengendalikan pasukan jadi ia selalunya sukar.

“Jurulatih mahu kami bermain dengan empat penyerang dan memberi tekanan sebaik permainan bermula. Ia memang berkesan. Kami mendominasi permainan dan apabila anda lebih banyak memegang bola, ia akan memberi kelebihan.” Seedorf gembira dengan persembahan skuad Rossoneri itu yang dianggapnya sebagai cabaran sebenar dalam karier kejurulatihan.
“Milan kembali menemui keseronokan bermain bola sepak,” kata pengendali kelahiran Belanda berusia 37 tahun itu yang mengakhiri kariernya sebagai pemain dengan kelab Brazil, Botafogo minggu lalu. - AFP
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets