Madrid: Atletico Madrid mensia-siakan peluang memintas Barcelona di tangga teratas La Liga apabila mereka menghadiahkan sepakan penalti dan seri 1-1 di laman sendiri dengan Sevilla, awal pagi semalam.
Barca terpaksa bangkit selepas ketinggalan untuk meraih satu mata pada perlawanan terdahulu dengan Levante yang menduduki tangga pertengahan liga. Bagaimanapun Atletico gagal menggunakan kesempatan berikutan kejutan yang dialami juara bertahan itu.
David Villa merembat masuk gol pertama Atletico pada minit ke-18 pada aksi di Vicente Calderon dan tuan rumah berada di ambang kemenangan hinggalah Juanfran menjatuhkan Carlos Bacca dalam kotak penalti pada minit ke-71 dan Ivan Rakitic tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan itu.
Keputusan itu menyebabkan Barca dan Atletico yang seri 0-0 di Madrid minggu lalu, kini berkongsi 51 mata di tangga teratas liga, namun Barca memiliki kelebihan jaringan ketika baki separuh musim lagi untuk diharungi.
Real Madrid pula semakin merapati kedudukan apabila kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu bersama itu hasil kemenangan besar 5-0 ke atas pasukan di tangga bawahan Real Betis di Seville.
“Semua pemain Sevilla yang berada di bangku simpanan meraikan kejayaan di hujung perlawanan seperti mereka memenangi final dan itu membuktikan betapa mereka amat menghormati kami,” kata pertahanan Atletico, Felipe Luis.
Barca seperti kehilangan idea menentang Levante yang lebih banyak bertahan pada aksi di Stadium Ciutat de Valencia dengan Lionel Messi yang kembali beraksi minggu lalu selepas dua bulan berehat akibat kecederaan kembali berada dalam kesebelasan utama.
Mereka yang tampak goyah apabila berdepan gerakan set-piece ketinggalan pada minit ke-10 selepas Loukas Vyntra menanduk masuk menewaskan penjaga gol Victor Valdes sebelum Barca menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi tandukan Gerard Pique. - Reuters