Swansea, Wales: Pengurus Tottenham, Tim Sherwood menegaskan persembahan baik skuadnya ketika ini mungkin tidak membantu tugasnya kecuali mereka mampu layak ke Liga Juara-Juara.
Spurs menikmati kemenangan kelima dalam enam perlawanan Liga Perdana sejak Sherwood menggantikan Andre Villas-Boas yang dipecat selepas menang 3-1 ke atas Swansea di laman lawan, kelmarin.
Emmanuel Adebayor (gambar) menyumbat dua gol selain gol sendiri Chico Flores manakala Wilfried Bony menjaringkan gol saguhati 12 minit sebelum tamat buat Swansea.
Kemenangan itu membolehkan Tottenham menghuni tangga kelima liga namun sama mata dengan Liverpool yang menduduki tangga keempat dan slot terakhir ke Liga Juara-Juara yang ditawarkan kepada kelab Inggeris.
“Kami sedar ada ujian getir menanti tapi ia satu permulaan baik buat saya dalam liga,” kata Sherwood yang dinaikkan pangkat bulan lalu dan diberikan kontrak sebagai ketua jurulatih hingga hujung musim 2014-15 oleh pengerusi kelab utara London itu, Daniel Levy.
“Saya fikir jika musim berakhir esok, pengerusi pastinya tidak gembira kerana kami di tangga kelima. Kedudukan terakhir liga perlu menepati sasaran kelab.” Bekas pemain tengah Tottenham dan England itu menjelaskan. Kelab perlu berada di kedudukan keempat dan mahu menamatkannya di tangga keempat. Keputusan selain itu jelas satu kegagalan.
“Secara realistik kami patut berada dalam kelompok itu tapi ia tidak mudah. Ada banyak pasukan hebat di kelompok atasan dan tiada siapa yang dilihat mahu memberikan laluan mudah.” - AFP