London: Penyerang Manchester City, Edin Dzeko menegaskan jumlah jaringan besar kelab itu tidak memberi sebarang makna sekiranya mereka menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan.
Dzeko menjaringkan gol ke-100 City musim ini dengan skuad kendalian Manuel Pellegrini kini sudah meledak 103 gol susulan kemenangan 4-2 ke atas Cardiff di Eastlands, Sabtu lalu.
Keputusan itu mengekalkan City di kedudukan kedua, ketinggalan satu mata kepada Arsenal, pendahulu Liga Perdana, salah satu daripada empat pertandingan masih mampu dimenangi mereka musim ini.
Ketika cabaran memburu kejuaraan berada pada landasan tepat, City kini boleh mengalih tumpuan kepada usaha menempah tiket ke final Piala Liga menentang Manchester United atau Sunderland.
Selepas membelasah kelab yang sedang bergelut dengan prestasi, West Ham 6-0 pada separuh akhir pertama, perlawanan timbal balik awal pagi esok menjadi satu lagi peluang untuk City mempamerkan kehebatan jentera serangan mereka kepada dunia bola sepak.
Namun bintang Bosnia, Dzeko berkata, adalah lebih penting City memberi fokus meraih kejuaraan berbanding mendapat pujian. “Ia pencapaian yang hebat namun kami mahu memenangi sesuatu. Ia lebih baik berbanding 100 jaringan ini,” kata Dzeko.
“Kami masih mempunyai banyak baki perlawanan dan akan menjaringkan lebih banyak gol namun kami turut perlu memenangi sesuatu.
“Kami masih bersaing dalam empat kejohanan dan lihatlah apa yang bakal berlaku. Perkara utamanya adalah cuba memenangi setiap perlawanan selepas ini.
“Saya amat gembira kerana menjadi pemain yang meledak jaringan ke-100.
“Saya menikmati saat ini. Pasukan mempamerkan permainan yang menakjubkan.
“Kami akan menjaringkan banyak gol. Kami perlu meneruskan rentak.” - AFP