Kuantan: Pengendali skuad Tok Gajah, Ronald Smith mengakui terkilan kerana dua pemain harapannya Dickson Nwakaeme dan R Surendran mengalami kecederaan ketika saingan Liga Super baru saja bermula.
Jurulatih berusia 64 tahun itu berkata, kecederaan pemain di posisi serangan dan tengah menyebabkan perancangannya sedikit terjejas biar pun baru saja menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.
“Pahang akan menghadapi masalah kerana jadual perlawanan musim ini padat ketika sumbangan dua pemain ini amat diharapkan dalam memperkasakan skuad ini.
“Saya harapkan kecederaan Nwakaeme dan Surendran akan cepat sembuh kerana sumbangan mereka amat dinantikan.
“Pada masa sama, pemain lain juga perlu mempertingkatkan corak permainan mereka dan kerjasama untuk membentuk persefahaman lebih mantap,” katanya, di sini, semalam.
Pada aksi Sumbangsih, Nwakaeme mengalami kecederaan pada paha kiri selepas bermain 15 minit manakala Surendran pula cedera pada lutut kanan pada perlawanan persahabatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas kejayaan Sumbangsih, Smith berkata, skuad kendaliannya belum mencapai tahap permainan yang diharapkan biarpun menewaskan Lions XII.
Menurutnya, berdasarkan 90 minit permainan, ada pemain yang gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka dan perasaan gementar dapat dilihat sepanjang perlawanan itu.
“Tapi, ia baru satu perlawanan dan percaya prestasi semua pemain akan meningkat selepas ini,” katanya.
Hmetro.com.my