Ipoh: Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin kecewa kerana Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak mungkir janji walaupun memberitahu akan menggugurkan dua kes salah laku penonton Perak dalam kancah Liga M 2013.
Dakwaan Aziz itu dibuat selepas PAFA menerima surat mendendanya sebanyak RM77,000 terhadap pertuduhan penyokong membakar mercun dan suar serta masuk padang semasa perlawanan dengan Sarawak dan Kedah pada 20 Ogos dan 17 September di Stadium Perak dalam saingan Piala Malaysia 2013.
Menurut Aziz bagi setiap perlawanan Perak dikenakan empat pertuduhan yang sama dan sehubungan itu dikenakan denda bernilai RM77,000.
“Taufek mungkir janji. Cakap lain buat lain. Dia beritahu akan gugurkan dua kes terhadap Perak tetapi malangnya PAFA menerima surat didenda sebanyak RM36,000 dan RM41,000.
“Saya mempertikai kredibiliti beliau sebagai pengerusi jawatankuasa tatatertib yang cakap tak serupa bikin.
“Saya mempunyai bukti terhadap dakwaan ini kerana ia dibuat di dewan seminar semasa taklimat Liga Super 2014 di Shah Alam akhir November lalu,” katanya.
Aziz berkata beliau akur dengan tindakan yang dikenakan terhadap Perak itu tetapi tidak berpuas hati dengan sikap berdolak-dalik Taufek.
Beliau berkata tindakan Taufek ternyata tidak profesional dan berharap tindakannya itu tidak mempunyai sebarang agenda peribadi. Beliau berkata, Taufek memaklumkan akan menggugurkan dua pertuduhan besar terhadap salah laku penonton Perak itu ketika menjawab pertanyaaannya yang berpendapat jawatankuasa itu mengamalkan bersikap `double standard’ terhadap ahli gabungan.
Menurut Aziz dia ingin tahu kenapa ada pasukan yang dihukum tanpa sebarang pertuduhan manakala ada pula yang dkenakan pelbagai pertuduhan walaupun isunya sama.
Hmetro.com.my