Manchester: Pengurus Tim Sherwood yakin aksi penyerang yang kembali mendapat tempat Emmanuel Adebayor (tengah) tampak sukar dikekang selepas bintang Togo itu menjaringkan gol pembukaan kemenangan 2-1 di Manchester United untuk Tottenham Hotspur meneruskan kebangkitan.
Adebayor menyerlah di bawah kendalian Sherwood sejak beliau dilantik pada pertengahan Disember lalu berikutan pemecatan Andre Villas-Boas yang menyisihkan penyerang itu musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan Liga Perdana sejak kembali beraksi dan perlantikan Sherwood itu mula membuahkan hasil apabila mereka memungut 10 mata daripada perlawanan itu untuk memintas United di tangga keenam liga.
“Kami tahu dia salah seorang penyerang terbaik liga dan apabila dia berada di puncak prestasi seolah-olah dia tidak boleh disekat,” kata Sherwood kepada pemberita ketika mengulas mengenai sumbangan Adebayor yang meletakkan Spurs di depan di Old Trafford pada minit ke-34.
“Saya fikir dia akan terus beraksi cemerlang, saya perlu berfikiran positif kerana tiada sebab kenapa dia tidak boleh melakukannya.
“Dia penyerang terbaik dan marilah kita berharap agar dia terus beraksi kerana dia cukup penting kepada pasukan.” Walaupun bakat yang dimiliki sukar dinafikan namun sikapnya sering kali dipersoalkan sama seperti yang terjadi ketika dia bersama dengan Manchester City dan Arsenal sebelum ini.
Sherwood bagaimanapun lebih bimbang dengan misteri yang menyebabkan penyerang itu keluar padang pada minit ke-70 sebaik saja pemain perancang Denmark Christian Eriksen menggandakan jaringan pasukan pelawat.
“Dia gembira dan mahu bermain setiap minit tapi malangnya dia terpaksa diusung keluar,” kata pengendali itu.
Biarpun kehilangan Adebayor, Spurs masih berjaya bertahan mengekalkan kemenangan di Old Trafford selepas Danny Welbeck menyumbat gol pada minit ke-67.
Hmetro.com.my