Monday, 20 January 2014

Tonik Berharga Kelantan

JURULATIH baharu Kelantan, Steve Darby lulus ujian pertama apabila skuad bimbingannya meraih tiga mata penuh selepas menumbangkan Sime Darby 2-1 pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Darby berkata, kemenangan yang dilakar di hadapan ribuan penyokong The Red Warriors itu adalah hasil kerja keras yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya sepanjang perlawanan berlangsung.
Menurut Darby, tiga mata yang diraih menjadi tonik berharga buat pasukannya untuk terus memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan selepas ini.
“Ini bukan kemenangan nasib kerana anda sendiri boleh lihat sendiri bagaimana pemain saya bekerja keras untuk mendapatkan jaringan selepas ketinggalan 0-1 kepada pasukan lawan pada babak pertama.
“Kami bermain sebagai pasukan profesional dan semestinya mahu tiga mata dan saya berharap pemain akan meningkatkan prestasi selepas kejayaan pertama malam ini (kelmarin),” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Kelantan yang beraksi di gelanggang sendiri dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit ketujuh menerusi sepakan percuma Mohd. Fadzli Shaari dari luar kotak penalti, sekali gus mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat di gawang The Red Warriors.
Penggempur sensasi Lubnan, Mohammad Ghaddar dijulang sebagai wira The Red Warriors apabila jaringannya pada minit ke-60 dan ke-81 memastikan Kelantan meraih tiga mata berharga.
Namun, gol kedua Ghaddar menimbulkan kontroversi selepas pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan apabila bola terkena tangan pemain pertahanan Sime Darby, Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi.
Darby memberitahu, meskipun meraih kemenangan pada perlawanan tersebut, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera menjelang saingan selepas ini.
Beliau mengakui, The Red Warriors masih bergelut untuk mencari keserasian tetapi pujian harus diberikan kepada para pemain kerana tetap berusaha bermain secara berpasukan sehingga tamat perlawanan.
Kelantan juga terpaksa ‘membayar’ harga yang tinggi dengan kemenangan itu apabila kehilangan tonggak import tengah, Mohamed Shawky akibat kecederaan hamstring.
“Shawky mengalami kecederaan hamstring dan perlawanan malam ini (kelmarin) sedikit terjejas kerana dia terpaksa dikeluarkan.
“Saya akan lihat tahap kecederaannya dan jika teruk, dia mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua menentang Sarawak pada 25 Januari ini di Kuching,” ujarnya.
Kosmo.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets