Monday, 20 January 2014

Sepakan Penalti Cetus Kontroversi



TONGGAK pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menanduk bola ke gawang Sime Darby pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.



JURULATIH Sime Darby, Ismail Zakaria secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan pada aksi pembukaan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Ismail menegaskan bahawa kerja keras anak- anak buahnya bagaikan ‘dirompak’ oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin yang memberikan sepakan penalti kepada The Red Warriors ketika aksi berbaki sembilan minit.
Penyerang import, Mohammad Ghaddar tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut, sekali gus menyaksikan Kelantan mencipta kemenangan 2-1.
Sebelum itu, impian The Giant Killer untuk sekurang- kurangnya meraih satu mata hampir berjaya direalisasikan.
Sime Darby terlebih dulu merobek gawang Kelantan hasil jaringan Mohd. Fadzli Shaari menerusi sepakan percuma seawal minit ketujuh.
Bagaimanapun, Ghaddar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 sebelum meledak gol kedua hasil sepakan penalti yang mencetuskan kontroversi itu.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, pihak pengurusan Sime Darby telah mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Dalam insiden itu, pengadil tidak sepatutnya memberikan sepakan penalti.
“Selepas melihat rakaman video, jelas ketika perebutan bola antara pemain saya (Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi) dan pemain Kelantan, ia dikira sebagai ball to hand, bukannya pemain saya sengaja mahu memegang bola tersebut.
“Pengadil seperti lebih terburu-buru hendak jatuhkan hukuman, bukannya mengadili perlawanan ini dengan lebih baik,” kata Ismail kepada dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan lain, Ismail kini mahu memberikan tumpuan kepada aksi pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok.
“Buat masa ini, saya mahu melupakan kekecewaan kami di Kota Bharu dan memberikan fokus kepada aksi bertemu ATM.
“ATM bukanlah satu pasukan yang asing bagi kami kerana kami telah beberapa kali bertemu mereka dalam aksi persahabatan mahupun kejuaraan Piala FA musim lalu.
”Saya berharap kami dapat memberikan prestasi baik nanti,” katanya.
Kosmo.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets