Abuja: Pemain tengah Ivory Coast dan Manchester City, Yaya Toure dalam kedudukan terbaik untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Afrika CAF selepas dia disenaraikan dalam tiga pemain terbaik semalam.
“Dua pemain Ivory Coast Yaya Toure dan Didier Drogba antara tiga pemain dalam senarai akhir untuk tahun kedua berturut-turut dan akan bersaing merebut gelaran dengan John Obi Mikel dari Nigeria,” kata Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menerusi laman web rasmi mereka.
Toure yang berusia 30 tahun memenangi anugerah itu pada 2011 dan 2012.
Rakan senegaranya Didier Drogba, 35, yang beraksi untuk kelab Galatasaray dari Turki itu turut meraih anugerah itu dua kali pada 2006 dan 2009.
Ini kali pertama buat pemain tengah Chelsea berusia 26 tahun Mikel berada dalam senarai akhir tiga pemain itu.
Pemenang anugerah 2013 itu akan diumumkan dalam satu majlis di Lagos, Nigeria pada 9 Januari. - AFP
Hmetro.com.my