Tuesday, 21 January 2014

Andik Tetap Membara

Kuala Lumpur: Pemain import Selangor Andik Vermansah tidak berkecil hati walaupun tidak diturunkan pengendali Merah Kuning Mehmet Durakovic dalam perlawanan pembukaan Liga Super pada Sabtu lalu.

Pemain yang diberi jolokan Messi Indonesia itu sebaliknya mahu memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama apabila Merah Kuning turun menentang Harimau Muda C dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) petang esok.

“Saya tiada masalah (tidak diturunkan) kerana ia keputusan jurulatih. Mungkin benar saya masih baru bersama pasukan selain masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis kanan yang dialami ketika Sukan SEA baru-baru ini. Keadaan saya kini 95 peratus.
“Namun saya tetap bersedia untuk diturunkan menentang Harimau Muda C sekiranya diarahkan jurulatih. Paling penting adalah kemenangan kepada pasukan mampu diraih terutamanya pada perlawanan pertama Sabtu lalu,” kata pemain sayap lincah itu.

Andik menjadi satu-satunya pemain import yang tidak diturunkan Durakovic ketika Merah Kuning membenam cabaran T-Team Sabtu lalu walaupun berada dalam senarai 18 pemain dengan penyerang importnya dari Brazil, Paulo Rangel meledak kedua-dua gol.

“Persembahan rakan sepasukan yang lain amat bagus terutama kehadiran tiga pemain import lain yang dilihat mampu memberikan dorongan dan perubahan kepada pemain tempatan. Ia sesuatu yang positif dan saya harap turut mampu melakukannya,” kata pemain berusia 23 tahun itu yang mampu beraksi pada sayap kiri dan kanan.
Andik berkemungkinan akan mendapat peluang untuk beraksi apabila Durakovic membayangkan mahu merehatkan beberapa pemain susulan jadual perlawanan padat bakal diharungi mereka selepas ini.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets