Kuching: Sarawak mahu melupakan kekalahan perlawanan pertama Liga Super, Sabtu lalu dengan azam menebus kedukaan itu dengan mengalahkan Pulau Pinang pada pusingan pertama Piala FA, malam ini.
Jurulatih Robert Alberts berkata kekalahan 2-0 kepada ATM itu harus dijadikan pembakar semangat untuk pemain mencipta kemenangan mutlak ke atas Pulau Pinang.
Beliau menganggap pertandingan Piala FA adalah penting dan setaraf dengan Liga Super mahupun Piala Malaysia.
Justeru, Alberts mahu skuad kendaliannya mempamerkan persembahan sebenar mengalahkan Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan lebih kuat berkemungkinan Selangor pada pusingan kedua nanti.
Beliau bagaimanapun tidak mahu pemainnya memandang rendah keupayaan Pulau Pinang yang bersaing dalam Liga Perdana musim ini.
“Pulau Pinang memiliki barisan penyerang berbisa dan berkeupayaan melancarkan serangan balas...kami harus berhati-hati,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih dari Belanda itu kecewa dengan aksi hambar penyerang import dari Iran, Aliredza Abbasfard ketika menentang ATM.
“Aliredza adalah antara pemain yang dibawa untuk membantu menajamkan barisan serangan tetapi dalam perlawanan menentang ATM dia gagal menunaikan tanggungjawabnya.
“Saya berharap dia akan segera bangkit dan buktikan kepada peminat bahawa dia adalah antara penyerang berbisa dalam Liga Super dan mampu membantu pasukan kami mencapai sesuatu musim ini,” katanya. - Bernama
Hmetro.com.my