Saturday, 18 January 2014

Peluang Real

Madrid: Real Madrid boleh menambah tekanan terhadap pendahulu La Liga, Barcelona dan Atletico Madrid dengan berkongsi tangga teratas menerusi kemenangan di gelanggang lawan menentang Real Betis malam ini.

Madrid merapatkan jurang dengan pencabar kejuaraan itu kepada tiga mata hujung minggu lalu selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Espanyol, dengan Atletico dan Barca seri 0-0 di Vicente Calderon.  
Semua tiga pasukan itu masih bersaing dalam tiga pertandingan apabila mereka mara ke suku akhir Piala Raja Sepanyol pada pertengahan minggu sebelum kembali beraksi pada Liga Juara-Juara bulan depan. 

Sekalipun meraih keputusan bagus, persembahan Madrid sukar diyakini akhir-akhir ini dengan bintang dibeli dengan harga 91 juta euro (RM407 juta) Gareth Bale (gambar) kurang memukau.
Namun jurulatih Carlo Ancelotti menyanjung semangat kompetitif pasukannya untuk terus bersaing merebut kejuaraan.

“Kini tempoh sukar musim ini sudah tiba kerana semua perlawanan penting,” katanya. 

“Kami tidak selalu bermain dengan menakjubkan. Kami berdepan banyak perlawanan ketika ini dan sukar untuk beraksi baik secara konsisten. 

“Tapi pasukan ini tetap fokus, bekerja keras dan dahagakan kejayaan masa depan.” 

Kemenangan buat Real bermakna mereka akan berkongsi tangga teratas bagi kali pertama sejak pertengahan September lalu dan Los Blancos menjadi pilihan hangat menentang Betis yang menghuni tangga tercorot dan tanpa sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan liga. 

Barcelona akan beraksi awal pagi Isnin ini apabila mereka berkunjung ke Levante dengan Lionel Messi dijangka memulakan perlawanan. 

Messi menjaringkan dua gol pada penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama sejak berehat dua bulan kerana kecederaan hamstring dengan kemenangan ke atas Getafe pada Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam. 

Bagaimanapun pemain Argentina itu sekali lagi tidak boleh berganding dengan Neymar selepas pemain Brazil itu terseliuh buku lali menentang Getafe.- AFP
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets