Milan: Pemain yang memenangi Liga Juara-Juara, Clarence Seedorf memulakan karier keduanya di AC Milan, kali ini sebagai jurulatih dengan dunia bola sepak memerhatikannya apabila Rossoneri menerima kunjungan Verona awal pagi Isnin ini.
Seedorf yang dianggap pemain paling berjaya dalam era Liga Juara-Juara selepas memenangi empat trofi bersama tiga kelab berbeza, mengikat kontrak dua setengah tahun sebagai jurulatih Milan kelmarin.
Ketibaannya dari Brazil disambut meriah penyokong Rossoneri yang berharap kejayaan Seedorf selama 10 tahun bersama kelab itu mampu diterjemahkan pula sebagai jurulatih.
Namun dengan Milan berada 30 mata di belakang pendahulu Juventus dan 20 daripada kelayakan ke Liga Juara-Juara, Seedorf sedar tugas berat menantinya selain kekurangan pengalamannya di peringkat tertinggi mencetus kritikan.
Jurulatih berusia 37 tahun itu, yang menamatkan kariernya sebagai pemain bersama Botafogo apabila tawaran Milan hadir, mengakui: “Banyak kerja yang perlu dilakukan untuk melonjakkan semula Milan ke puncak.” Laporan menyebut Seedorf, yang mengambil alih daripada jurulatih yang dipecat Massimiliano Allegri, sudah bercakap panjang lebar dengan bintang Milan yang kurang menyerlah iaitu penyerang Mario Balotelli.
Sama ada kehadiran Seedorf mampu memperbaiki sentuhan jaringan Balotelli masih menjadi persoalan utama namun jika beliau berjaya melakukannya, jelas ia menyokong dakwaan Allegri gagal membimbing penyerang kontroversi Itali itu.- AFP
Hmetro.com.my