Thursday, 2 January 2014

Penyu Sahut Cabaran MB

Kuala Terengganu: Terengganu menyahut cabaran kerajaan negeri untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini selepas melalui musim yang agak malap tahun lalu.
Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan nama Sang Penyu itu kini berada pada landasan terbaik untuk merealisasikan impian Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bagi merangkul salah satu daripada tiga piala yang dipertandingkan.

Menurut Marzuki, dalam sukan bola sepak apa apa pun boleh berlaku dan dengan barisan yang boleh dianggap terbaik dimiliki pasukan musim ini tidak mustahil Terengganu mampu merangkul lebih daripada satu piala musim ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, kehadiran beberapa muka baru yang berpengalaman termasuk Zairo Anuar Zailani, Mohd Faiz Subri, Mohd Sharbinee Alawee Ramli, Nor Hakim Hassan, Azlan Zainal dan Mohd Nor Farhan Muhammad bakal memperkuatkan lagi skuad Terengganu.

Katanya, selain pemain tempatan yang membarisi skuad, empat tenaga import termasuk pemain musim lalu Vincent Bikana dari Cameroon, Marcio Souza (Brazil), Mario Karlovic (Australia) dan Mamadou Hady Bary dari Papua New Guinea bakal memantapkan lagi pasukan yang dibimbing jurulatih berpengalaman Abdul Rahman Ibrahim dalam misi memburu kejuaraan musim ini.

“PBSNT yakin gandingan pemain tempatan dan pemain import yang dilihat semakin serasi mampu membentuk pasukan yang disegani musim ini dan seterusnya mampu mendakap sekurang-kurangnya satu piala sebagaimana yang diinginkan kerajaan negeri,” katanya.
Bagaimanapun, Marzuki awal-awal lagi enggan mendabik dada sebaliknya mengakui walaupun mempunyai barisan terbaik ia bukan satu tugas mudah sekiranya pemain gagal mempamerkan aksi berkualiti sebagai mana yang diidamkan.

“PBSNT sedar misi berkenaan bukan mudah untuk digapai, namun jika barisan pemain beraksi dengan penuh komitmen selain sokongan padu daripada penyokong, tidak mustahil impian itu mampu dicapai,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak membantu pasukan.
Menurutnya, beberapa siri perlawanan persahabatan bakal diadakan sebelum Liga Malaysia yang akan bermula pada 18 Januari ini bertemu bekas anak didik Abdul Rahman, Selangor PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Perlawanan persahabatan penting untuk membentuk keserasian pemain selain untuk menilai kelemahan dan kekuatan pasukan apatah lagi ramai muka baru termasuk pemain import membarisi skuad Penyu,” katanya.
Hmetro.com.my

Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets