Rome: Vladimir Petkovic masih menganggap berasa ‘bangga’ dapat meneruskan tugas selaku jurulatih Lazio, demikian kenyataan Petkovic kelmarin ketika media heboh melaporkan bahawa Edoardo Reja sudah menggantikan tempatnya selepas turun pada sesi latihan sejak tiga hari lalu.
Switzerland pada 23 Disember lalu mengumumkan Petkovic sudah bersetuju untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih skuad kebangsaan untuk musim depan, menggantikan Ottmar Hitzfeld yang akan meletak jawatan selepas berakhir Piala Dunia 2014 di Brazil.
Media Itali melaporkan pelantikan itu mencetuskan rasa marah Presiden Lazio, Claudio Lotito yang bercadang untuk memecat jurulatih kelahiran Bosnia itu berbanding membenarkannya menghabiskan kontrak sehingga Jun.
Lazio yang akan bertemu Inter Milan di halaman sendiri pada 6 Januari, belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
“Petkovic menganggap beliau masih berbangga kerana kekal sebagai jurulatih Lazio,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Petkovic, Paco D’Onofrio. “Beliau mahu tindakan yang adil serta bertemu dengan Lotito dalam usaha menyelesaikan salah faham yang berlaku, demi untuk penyokong, pemain dan terutamanya kelab.
“Petkovic berasa terkejut dan kecewa mengenai laporan yang tidak memihak kepadanya kerana beliau dikatakan akan bertugas di bawah Persekutuan Bola Sepak Switzerland pada musim depan.
“Selepas menandatangani kontrak itu pada 23 Disember lalu, beliau bercadang untuk memaklumkan terlebih dulu kepada Lotito sebelum ia tersebar di media. Beliau mahu menyatakan untuk kekal bersama Lazio sehingga hujung musim,” katanya.
Petkovic mengambil alih tugas jurulatih Lazio pada awal musim ini menggantikan Reja yang meletak jawatan selepas mengemudi kelab itu selama dua musim.
Hmetro.com.my