Doha: Presiden Paris Saint-Germain Nasser Al-Khelaifi menegaskan pesaing tidak perlu bimbang terhadap ancaman dicetuskan kelabnya dan bangkit mempertahankan negara kelahirannya, Qatar, kelmarin.
PSG kini berada di negara Teluk itu untuk kem latihan musim sejuk dan akan menentang Real Madrid dalam aksi persahabatan di Doha sebelum kembali ke Perancis untuk meneruskan saingan domestik.
Kelab yang berpusat di ibu negara Perancis itu muncul salah sebuah pasukan terkuat dalam bola sepak sejak dibeli Qatar Sports Investments pada 2011, dan kini ancaman utama kepada kelab seperti Madrid, Barcelona dan Bayern Munich di pentas Eropah.
Usaha mereka dibantu dengan perjanjian penajaan yang besar bersama pihak Pelancongan Qatar yang membolehkan mereka meraih pendapatan 200 juta euro (RM900.2 juta) setahun.
Perjanjian berkenaan mencetuskan kebimbangan UEFA yang cuba memperkenalkan peraturan kewangan Fair Play (FFP) namun Al-Khelaifi menegaskan PSG tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya tidak faham. Adakah mereka bimbang mengenai pertandingan itu sendiri atau penajaan? Kadang-kala mereka bimbang terhadap PSG sebagai sebuah kelab,” katanya.
Mungkin itulah sebabnya. Kami menghormati setiap kelab, kami tidak mencampuri hal atau urusan dalaman kelab lain. Ini adalah antara kami dan UEFA.
“Sudah pasti ini adalah kontrak yang sebenarnya, kami mempunyai mesyuarat dengan jawatankuasa kewangan Fair Play. Kami sangat telus, kami memberi jawapan kepada setiap soalan.
“Apa yang saya faham bahawa Qatar membuat pelaburan besar dalam sukan untuk mempromosikan negara itu. Ini adalah sebahagian besar pelaburan Qatar, melabur dalam PSG.
“Hari ini semua pihak bercakap mengenai PSG dan Qatar. Jadi saya ini ia adalah sesuatu yang memberikan pulangan yang besar. Ia membantu pelancongan dan ia adalah sesuatu yang kami jelaskan (kepada FFP).” Al-Khelaifi, bekas pemain tenis, turut mempertahankan dakwaan bahawa Qatar menyalahgunakan hak pekerja yang terbabit dalam projek pembinaan menjelang Piala Dunia 2022, di mana negara itu akan menjadi tuan rumah.
“Sudah pasti sebagai rakyat Qatar, ia membuatkan saya kecewa,” katanya. “Sesetengah pihak melihat dengan negatif negara saya. Saya mengenali negara sendiri. Undang-undang sangat ketat. Tiada siapa di negara kami sama ada dari pihak kerajaan atau individu lain sanggup melihat syarikat asing melakukan kesalahan undang-undang.
“Secara jujur, saya fikir (kritikan terhadap Qatar) adalah tidak adil. Saya sendiri melakukan kesilapan... namun ia tidak bermakna apabila saya melakukan kesilapan, tidak semestinya negara saya teruk.” - AFP