Tuesday, 31 December 2013

' Yol ' Mula Berasa Lega

Johor Bahru: Tiada apa mampu diucapkan pemain tengah Amirulhadi Zainal sebaliknya wajah kelegaan terpancar sekali gus memberi sinar kepada pemain itu untuk mempamerkan aksi terbaik bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang menyingkap tirai 18 Januari ini.
Keputusan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat lalu, berhubung isu pemain berusia 27 tahun itu didapati menandatangani dua kontrak bersama Johor DT dan Pahang sudah diputuskan apabila sekadar denda RM25,000 dikenakan manakala kontrak bersama Johor DT adalah sah sudah cukup memberi nafas baru buat pemain yang sinonim dengan panggilan ‘Yol’ itu.

“Keputusan sudah dibuat oleh FAM dan saya tidak boleh buat apa-apa dengan denda yang dikenakan. Apa pun kontrak saya bersama Johor DT adalah sah sudah cukup melegakan dan ia memberi nafas baru buat saya untuk memberi komitmen tinggi kepada pasukan baru dalam usaha memburu satu piala.
“Apa pun saya perlu bekerja keras untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama dan kehadiran pemain berkualiti dalam skuad Johor DT memberi gambaran betapa disiplin dan persembahan terbaik sepanjang latihan bakal beri ruang untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Saya tetap optimis dengan barisan pemain sedia ada, Johor DT mampu membawa pulang satu piala kerana sasaran utama adalah layak ke saingan Piala AFC 2015,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan Johor DT menentang kelab Liga Singapura (Liga S), Hougang United yang menyaksikan skuad Harimau Selatan menang 3-0 di Stadium Larkin, kelmarin.

Johor DT bimbingan Cesar Ferrando Jiminez baru mengharungi dua aksi persahabatan kompetitif tatkala aksi pertama sebelum ini mudah mengatasi Tampines Rovers FC 7-1 pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang dan kemenangan ke atas Hougang United memberi impak positif dalam usaha mencari kesebelasan terbaik mengharungi kempen Liga Malaysia.
Kelibat Amirulhadi yang beraksi pada babak kedua jelas tidak mengecewakan apabila sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan menerusi larian pantas di sayap kanan malah dia tidak kekok untuk mengadaptasi corak permainan yang diterapkan Jiminez biarpun baru dua minggu bersama skuad itu.

“Memang ada perbezaan dari segi taktikal tapi saya tidak menghadapi masalah untuk menjiwai corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih malah persefahaman antara pemain juga tidak menimbulkan kesukaran kepada saya memandangkan pernah beraksi bersama beberapa pemain.
“Paling utama saya tidak kekok apabila beraksi di padang kerana saya pernah beraksi bersama Safiq Rahim, Mahali Jasuli, Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan Talaha dan ia membentuk kombinasi dan persefahaman yang mantap bagi mengharungi kempen Liga M nanti,” kata Amirulhadi.
Hmetro.com.my

Azidan Senjata Utama Tok Gajah

Kuantan: Ruang buat pemain tengah Azidan Sarudin untuk terus menerajui jentera perancang Pahang musim ini dilihat terbuka luas terutama selepas rakan sepasukan Amirulhadi Zainal berhijrah ke Johor Darul Takzim (Johor DT).
Ternyata peluang yang terhidang itu akan direbut sebaik mungkin pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bagi membuktikan kelibatnya bakal menjadi senjata utama skuad Tok Gajah yang mendapat sentuhan jurulatih Ron Smith.

“Mungkin ada hikmah serta kebaikan di sebalik ketiadaan Amirulhadi musim ini yang ternyata membuka lebih ruang kepada saya meneraju posisi tengah bersama Mohd Hafiz Kamal.
“Bagaimanapun, peluang yang terhidang itu tidak bermakna saya berada dalam ruang selesa tanpa pencabar. Justeru untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama terus terjamin prestasi terbaik perlu dipamerkan.

“Sikap tegas jurulatih (Smith) menggambarkan peluang saya untuk berada dalam senarai utama bukan suatu jaminan sebaliknya perlu membuktikan keupayaan diri,” katanya.

Azidan berkata, tidak dinafikan skuad Tok Gajah musim ini dilihat lebih mantap berbanding musim lalu terutama dengan kehadiran dua tenaga import baru iaitu Dickson Nwakaeme dan Zeshan Rehman.
Namun katanya, kini terpulang kepada jurulatih untuk mencorak pasukan bagi membentuk skuad terbaik dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia seterusnya mengintai peluang merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala FA.

“Saya berjanji memberi persembahan terbaik untuk skuad Tok Gajah musim ini dalam memastikan kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) berjaya diterjemahkan dan ia bukan suatu cakap kosong.
“Bagaimanapun, untuk melakar kejayaan membanggakan kerjasama semua pemain ditagih, sukan bola sepak memerlukan komitmen kesebelasan utama bukan dua atau tiga pemain saja,” katanya yang kini sedang membuat persediaan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih bertemu LionsXII dari Singapura pada 14 Januari ini.
Hmetro.com.my

Fauzi Terpinggir

Kuantan: Pernah dianggap sebagai senjata utama di bahagian serangan skuad Tok Gajah pada awal Liga Malaysia musim 2013, kelibat Fauzi Rozlan kini seakan terpinggir.
Dengan kehadiran bekas penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti yang mengesahkan tempat dalam skuad itu menambah lagi kesukaran pemain tempatan untuk mengisi tempat dalam kesebelasan utama.

Pada masa sama, prestasi tidak menentu dan tidak seperti yang dipersembahkan pada awal musim menyebabkan Fauzi perlu lebih bekerja keras bagi meyakinkan jurulatih Ronald Smith.
Tidak hairan Fauzi yang lebih mesra dengan panggilan Kojie berasa komitmen untuk mengembalikan prestasi sebenar perlu ditunjukkan sekali gus mendapat tempat dalam skuad utama Pahang.

“Saya akui prestasi tidak menentu dipamerkan pada pertengahan musim ini menyebabkan saya sering berada di bangku simpanan sebelum kembali dengan prestasi lebih baik dalam saingan Piala Malaysia lalu.

“Sebab itu dengan semangat baru musim 2014 ini saya berazam mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik terutama menajamkan sentuhan jaringan.
“Saya akui kehadiran Nwakaeme dan Conti di bahagian serangan menyukarkan lagi tempat tapi sebagai pemain saya berusaha meyakinkan jurulatih,” katanya semalam.

Musim ini pemain kelahiran Pekan itu menjaringkan 12 gol hingga bekas jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan.
Hmetro.com.my

Pendaftaran Amirulhadi Diterima

Kuala Lumpur: Pemain tengah Amirulhadi Zainal tiada masalah untuk beraksi dengan kelab barunya Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi aksi Liga Super musim depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain itu sudah didaftarkan sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir 17 Disember lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah, biarpun dua pasukan Johor DT dan Pahang mendaftarkan nama Amirulhadi, pihaknya tetap menerima pendaftaran itu selepas Jawatankuasa Status Pemain FAM memutuskan bekas pemain kebangsaan itu menjadi milik Johor DT minggu lalu, 11 hari selepas tarikh pendaftaran ditutup.

“Tiada isu membabitkan pendaftaran Amirulhadi kerana namanya sudah didaftarkan oleh Johor (JDT) sebelum tarikh tamat pendaftaran pada 17 Disember lalu cuma perbicaraan mengenai kesnya dilakukan selepas tarikh tutup pendaftaran itu.
“Kami menerima pendaftaran itu biarpun namanya turut disenaraikan bersama Pahang pada mulanya. Selepas Jawatankuasa Status Pemain membuat keputusan Amirulhadi sah mewakili Johor DT maka kami menerima pendaftaran itu dan Johor DT tidak perlu membuat permohonan semula,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Penjelasan Afandi itu sekali gus menutup keraguan kemungkinan Amirulhadi hanya boleh beraksi selepas tempoh pendaftaran pemain kedua pada Mac depan.

Amirulhadi dipanggil menghadap Jawatankuasa Status Pemain minggu lalu apabila dia didakwa melanggar kontrak dengan pasukan asalnya Pahang dan menyertai skuad Harimau Selatan.
Pahang mendakwa pemain tonggak skuad juara Piala Malaysia itu sudah menandatangani kontrak baru namun kontroversi timbul apabila pemain berusia 27 tahun itu muncul pada majlis pengumuman skuad Johor DT.

Bagaimanapun pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata wujud keraguan dalam kontrak Amirulhadi bersama Pahang namun pemain itu perlu membayar denda RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.
Hmetro.com.my

Perak Tingkat Mental , Fizikal Pemain

Ipoh: Meningkatkan kemampuan anak buahnya dari aspek kecergasan dan ketahanan fizikal adalah tumpuan utama jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim dalam sesi latihan saban hari ketika ini.
Selain itu Bakar juga berharap mewujudkan gandingan mantap melalui kemahiran individu dan semangat berpasukan bagi menghadapi cabaran dalam kempen kali ini.

“Semua elemen ini penting dalam sesebuah pasukan jika bercita-cita menjadi juara. Justeru pemain Perak perlu mempunyai perwatakan mantap untuk menjadi pesaing kepada pasukan lain,” kata Bakar semalam.
Jurulatih itu yang akan menyandarkan harapan kepada barisan pemain muda sedar tugas berat yang dihadapinya untuk menggarapkan tenaga mereka dalam usaha membentuk adunan mantap.

“Akan mengambil sedikit masa tapi berkat kerja keras dan kesungguhan pemain saya yakin usaha itu akan membuahkan hasil.

“Empat pemain import serta berpengalaman seperti Hardi (Jaafar) dalam pasukan boleh menjadi pembimbing bagi pencetus dan pemangkin semangat pemain muda,” katanya.
Malah jurulatih itu yakin berdasarkan persaingan sengit dalam pasukan akan memudahkan lagi tugasnya untuk menyediakan pasukan berwibawa.

“Apa yang penting semangat pemain ketika ini begitu berkobar-kobar. Pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan ialah buktikan kesungguhan semasa latihan serta menggunakan kesempatan bermain untuk meyakinkan saya.
“Bagi saya tiada pemain yang mendapat tempat dalam pasukan secara automatik hanya kerana nama.”
Hmetro.com.my

Zubir Tekad Bantu Penyu Musim Depan

Kuala Terengganu: Biarpun masih merasai keperitan akibat gagal mempertahankan ‘ibu segala pingat’ di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini, pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi bertekad melupakan terus kepedihan itu dengan memberi perhatian terhadap kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pertahanan berusia 22 tahun itu berkata, dia kini diberikan cuti rehat dan akan bersama-sama pasukan yang kini berada di Indonesia mengharungi siri perlawanan persahabatan pramusim.

“Saya memang kecewa gagal membantu negara membawa pulang pingat tapi saya harus menerima hakikat kalah dan menang adalah lumrah dalam bola sepak. Sekarang, saya sudah melupakan kekecewaan itu dan berazam memberi tumpuan kepada pasukan Terengganu dalam Liga M.
“Saya sedar saingan Liga M musim depan cukup mencabar, namun percaya dengan barisan pemain yang ada dalam pasukan Terengganu mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan lain,” katanya semalam.

Pemain berasal dari Setiu itu juga menyifatkan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim musim depan adalah yang terbaik untuk meraih piala, lebih-lebih lagi diperkuatkan pemain berkaliber antaranya Norfarhan Mohamad, Zairo Anuar Zailani dan Faiz Subri.

Ditanya persiapan musim depan, Zubir menegaskan dia kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk membawa cabaran Terengganu dalam Liga M.
“Saya sekarang sudah bersedia dan bebas daripada sebarang kecederaan. Bagaimanapun, soal bermain dalam kesebelasan utama saya serahkan kepada jurulatih.

“Saya juga tidak mahu terlalu yakin dan mendapat laluan mudah kerana sedar, Nik Zul Aziz Nawawi yang bermain di posisi sama juga menunjukkan permainan terbaik dan saya anggap ia persaingan sihat,” katanya.
Zubir yang dilabel pertahanan kental dan mempunyai gaya permainan ala pertahanan Manchester United, Patrice Evra, mempunyai impian besar musim depan iaitu mahu menjulang satu piala selepas gagal meraih sebarang trofi musim lalu.

Hmetro.com.my

Malang Rodgers

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers hanya mampu iri hati terhadap skuad lawannya selepas kekalahan kedua dalam tempoh empat hari menggugat usaha mencabar kejuaraan liga dan menyebabkan beliau kini terpaksa memikirkan nasib pasukannya.
Kelab Merseyside itu berada di puncak Liga Perdana pada hari Krismas namun kekalahan 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi semalam, selepas tewas kepada Manchester City dengan jaringan sama, menyebabkan mereka menjunam ke kedudukan kelima.

Mereka tampil memberikan saingan sengit dan mendahului dalam kedua-dua perlawanan itu namun tidak mempunyai pemain di bangku simpanan yang berupaya memberi nafas baru kepada permainan mereka.
“Kami tidak mampu mengharungi dua perlawanan yang sukar menentang dua pasukan yang lebih hebat. Skuad kami amat kecil ketika ini,” kata Rodgers.

“Ketika menentang Manchester City, kami adalah pasukan yang lebih baik dan hari ini (awal pagi semalam), selepas mendahului kami membenarkan jaringan yang mengecewakan untuk lawan.

“Pemain sudah memberikan yang terbaik. Jika satu atau dua perkara memihak kepada kami, keputusan mungkin berbeza. Sejak permulaan musim ini, skuad ini sangat kecil dan kami memerlukan sedikit tuah dengan tiada siapa mengalami kecederaan, hinggalah empat minggu lalu ia tidak memihak kepada kami.” Ketika kapten Steven Gerrard dan penyerang Daniel Sturridge sudah tersisih, mereka mendapat berita lebih buruk dengan pemain pertahanan Mamadou Sakho dibayangi kecederaan hamstring dan pemain tengah Joe Allen terpaksa dikeluarkan.
Liverpool kini sudah menentang semua empat pasukan teratas di gelanggang lawan dan tiga perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan yang berada di kedudukan 10 atau di bawah dengan keputusan yang baik akan membawa mereka kembali dalam pemburuan kejuaraan liga. - Reuters
Hmetro.com.my

Wenger Kagum

Newcastle, England: Arsene Wenger menegaskan anak buahnya semakin matang selepas melontarkan cabaran kepada pendahulu Liga Perdana Arsenal untuk mengekalkan saingan merebut kejuaraan pada kempen Tahun Baru.
Skuad kendalian Wenger itu menamatkan 2013 dengan mengumpul 82 mata, lebih banyak berbanding pencabar Liga Perdana yang lain selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Newcastle untuk kembali merampas kedudukan teratas liga.

Tujuh daripada sembilan kelab yang menerajui liga ketika memasuki Tahun Baru muncul juara Inggeris pada Mei.
Wenger enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu yang menyaksikan anak buahnya bergelut dengan fizikal dan mental dalam perlawanan itu selain kemahiran teknikal yang mereka miliki.

Namun pengendali dari Perancis itu mengakui beliau kagum dengan kemampuan pemainnya yang beraksi baik tanpa kehadiran Mesut Ozil yang diharapkan akan kembali pulih daripada kecederaan dalam tempoh terdekat ini.

Selepas Olivier Giroud meraih gol ke-11 musim ini untuk memastikan kemenangan, Wenger berkata: “Newcastle memberi cabaran fizikal yang hebat buat kami tapi kami berjaya mengatasinya.
“Kami membuktikan satu lagi kekuatan kami hari ini (semalam) iaitu kualiti kecergasan. Semua pemain bergerak di setiap sudut di padang. Kami mempunyai kemahiran teknikal yang bagus tapi kami juga mempamerkan kekuatan mental.

“Ada sesuatu yang istimewa dalam pasukan ini. Kualiti kecergasan kami sering dipertikaikan tapi kami membuktikan kekuatan sebenar kami.
“Pasukan ini mempunyai perpaduan dan kekuatan tersendiri. Mungkin beberapa tahun lalu, pemain muda kami gagal menyerap tekanan seperti ini terutama pada 15 minit terakhir.” Mengulas mengenai persembahan pasukannya tahun ini, Wenger menjelaskan: “Kami menamatkan kempen dengan baik musim lalu dan jika anda lihat secara keseluruhan, kami sangat konsisten pada 2013.” - AFP
Hmetro.com.my

' Kami Tetap Menyerang '

London: Pengurus Tottenham Tim Sherwood mahu meneruskan corak permainan menyerang yang diamalkan apabila menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi Khamis ini.
Sherwood meraih kemenangan pertama sebagai pengurus sepenuh masa selepas menggantikan Andre Villas-Boas dengan menewaskan Stoke 3-0 dalam saingan Liga Perdana di White Hart Lane awal pagi semalam.

Jaringan penalti Roberto Soldado pada minit ke-37, diberikan apabila kapten Stoke Ryan Shawcross menghalang aksi akrobatik Emmanuel Adebayor menggunakan tangannya, memberikan jaringan pendahuluan untuk Tottenham pada separuh masa pertama.
Kemenangan berjaya dipastikan menerusi dua jaringan dalam tempoh empat minit selepas babak kedua bersambung hasil jaringan Mousa Dembele dan Aaron Lennon yang menggegar gawang.

Sherwood, yang memimpin Spurs meraih kemenangan dalam satu daripada dua perlawanan sebagai pengurus sementara, mengabaikan formasi berhati-hati diamalkan Villas-Boas yang hanya menggunakan seorang penyerang dengan membawa kembali penyerang Togo, Adebayor yang sering tersisih sebelum ini, antara dua pemain yang diletakkan di bahagian serangan.

United memenangi enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan namun Sherwood menjelaskan beliau tidak akan bertandang ke Manchester pada hari tahun baru untuk bertahan dengan harapan meraih keputusan seri.
“Saya suka bermain dengan risiko,” katanya. “Kami menghormati mereka namun kami tidak akan memberikan laluan mudah. Kami perlu tampil dan mempamerkan permainan kami sebaik mungkin.

“United sudah berubah sepenuhnya, mereka berada pada prestasi baik. Berdasarkan sejarah kita mengetahui kemampuan mereka apabila berada pada tahap terbaik.” - AFP
Hmetro.com.my

Monday, 30 December 2013

Azam Baru Piya

Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi berazam untuk tampil sebagai pemain bola sepak yang menutup aurat selepas pulang daripada mengerjakan umrah bulan lalu.
Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, sebelum ini dia pernah beraksi tanpa mendedahkan aurat namun ia hanya seketika, tetapi selepas pulang daripada mengerjakan umrah November lalu, dia nekad untuk beraksi dengan memenuhi tuntutan agama.

Katanya, selain memenuhi tuntutan agama, pemain yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) tahun ini turut menyifatkan azamnya sesuai dengan kempen menutup aurat yang dilancarkan di Kelantan.
“Sebelum ini saya pernah mencuba untuk menutup aurat ketika bermain bola sepak, namun usaha itu tidak berterusan. Bagaimanapun selepas pulang daripada mengerjakan umrah, niat untuk menutup aurat ketika bermain bola semakin menebal dan saya nekad untuk meneruskannya.

“Saya akan menguatkan iman supaya bermain bola dalam keadaan menutup aurat sama ada ketika perlawanan di tempat sendiri atau di tempat lawan termasuk juga ketika sesi latihan,” katanya semalam.

Sebelum ini pemain FELDA United, Indra Putra Mahayuddin yang sentiasa dilihat beraksi tanpa mendedahkan aurat sama ada ketika perlawanan ataupun latihan sewaktu bersama The Red Warriors (TRW) dan kini tindakan itu turut disusuli Piya.
Mohd Badhri berkata, tiada halangan bagi seorang ahli sukan Muslim untuk berjaya sekiranya tampil dengan menutup aurat, malah menyifatkan kejayaan akan lebih diberkati Allah apabila berjaya memenuhi tuntutan agama.


“Tiada masalah untuk mengekalkan prestasi sekiranya tampil dengan menutup aurat. Saya yakin Allah akan lebih memberkati usaha kita untuk mencapai kejayaan,” katanya yang juga mengharapkan TRW dapat menjulang sekurang-kurangnya satu trofi untuk musim Liga Malaysia 2014.
Hmetro.com.my

Perlu Lebih Kerja Keras : Poyeng

Kuantan: Kehadiran dua pemain pertahanan import memberi petunjuk pemain tempatan perlu bekerja keras jika mahu berada dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah musim depan.
Ia diakui pemain pertahanan Pahang yang berasa komitmen dan disiplin menjadi faktor utama jika mahu menambat hati jurulatih untuk disenaraikan pada setiap perlawanan.

Bagi pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan, dia mengakui perlu bekerja keras untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad itu.
Menurutnya, kehadiran Damion Stewart dan Zesh Rehman di bahagian pertahanan skuad itu menyaksikan bukan saja dia malah rakan lain perlu bersaing sesama sendiri.

“Dalam tempoh sebelum saingan Liga Malaysia bermula, saya akan meyakinkan jurulatih untuk dipilih dalam kesebelasan utama.

“Tapi saya menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih untuk menentukan kedudukan terutama memantapkan skuad Pahang bagi musim 2014,” katanya yang mesra disapa Poyeng.
Hmetro.com.my

Bunyamin Pikat Durakovic

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Bunyamin Omar menjadi pilihan pengurus dan jurulatih Selangor Mehmet Durakovic untuk mengetuai cabaran Merah Kuning musim depan.
Pemain berusia 25 tahun itu mula menyertai Merah Kuning sejak 2009 akan menggalas tugas ditinggalkan seorang lagi pemain pertahanan Asraruddin Putra Omar yang menyertai Johor Darul Takzim musim depan.

“Nama Bunyamin dicadangkan Durakovic selepas melihat aksi pemain itu dalam siri persahabatan di Australia baru-baru ini. Selain mempunyai sikap kepimpinan, dia turut memainkan peranan dalam membantu jurulatih dalam memantapkan pasukan.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan pemilihan ini kerana memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk menentukannya,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim.

Pemain kelahiran Kedah itu pemain paling senior dalam senarai skuad Merah Kuning tahun depan dan berkemampuan untuk beraksi di tiga posisi iaitu pemain tengah bertahan, pertahanan tengah dan kanan.

Selangor yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan musim depan kehilangan beberapa tonggak utama seperti Asraruddin, Amri Yahyah dan Francis Forkey Doe namun tetap tampil mencabar apabila menyenaraikan beberapa pemain ternama seperti Farizal Marlias, Azmi Muslim, Rizal Fahmi Ab Rosib, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri selain mengekalkan K Gurusamy, S Kunanlan dan Raimi Md Noor.
Selain mengharungi kancah Liga Malaysia, Selangor yang turut beraksi dalam saingan Piala AFC tahun depan sudah mengikat empat pemain import iaitu Paulo Rangel, Junior Aparecido Guimaro de Souza, Stilianos Pantelidis selain pemain sayap Indonesia Andik Vermansyah.

Selangor akan meneruskan persiapan apabila menentang Tentera pada satu aksi persahabatan esok.
Hmetro.com.my

Wanggai Diminta Bukti Keupayaan

Kuala Terengganu: Penyerang import T-Team, Patrich Wanggai (gambar) digesa meningkatkan permainan dan membuktikan kewibawaan selaras statusnya selaku penyerang berbisa Indonesia.
Ini kerana bekas penyerang Persipura Jayapura itu dilihat belum memperagakan permainan sebenar bersama The Titans dan tiada keserasian antara faktor pemain itu kurang menyinar.

Ketua jurulatih T-Team Azraai Khor Abdullah berkata, beliau melihat sudah ada sedikit peningkatan yang dipamerkan penyerang berusia 25 tahun itu.
Bagaimanapun, pengendali berusia 61 tahun itu menggesa penyerang yang mengisi kuota pemain import Asia itu dapat mempertingkatkan lagi keserasian dengan rakan segandingan dan pemain tengah.

“Saya lihat sebelum ini Patrich mengalami masalah keserasian dan kesefahaman dengan pemain tempatan terutama di bahagian tengah.

“Namun sekarang saya lihat sudah ada peningkatan yang dipamerkan pemain ini dalam beberapa perlawanan persahabatan.
“Saya juga yakin yang pemain ini mampu menyinar dengan sentuhan berbisanya dan membantu pasukan memberi tentangan kepada pasukan lain dalam Liga M nanti,” katanya, semalam.
Hmetro.com.my

Rampas Takhta

Manchester, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya anak buahnya mampu menjadi pencabar utama perebutan empat trofi musim ini selepas melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.
Edin Dzeko menyumbang gol tunggal pada babak kedua di Stadium Etihad sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri.

Dengan City turut bersaing pada saingan Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA, Pellegrini berkata, anak buahnya jelas berada di landasan tepat seperti yang dimahukan olehnya.
“Kami sedar kami berada pada kedudukan yang dimahukan di awal saingan liga.

“Kami beraksi di semua saingan. Dalam Piala Liga kami sudah sampai ke separuh akhir, layak ke saingan Liga Juara-Juara dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

“Mungkin lapan perlawanan sebelum ini, tiada siapa yang percaya kami mampu mengatasi kelebihan enam mata yang dimiliki Arsenal.
“Kami mencatat tujuh kemenangan dan seri sekali. Kami perlu meneruskan rentak ini tapi apapun, segala-galanya masih terlalu awal.

“Separuh lagi saingan liga pasti tidak banyak bezanya berbanding ketika ini dengan lima atau enam pasukan akan bersaing sengit.
Dzeko menyempurnakan hantaran Jesus Navas pada minit ke-66 untuk memastikan City meraih tiga mata penuh tetapi prestasi Joe Hart di gawang gol juga cukup cemerlang. - AFP
Hmetro.com.my

Arsenal Kembali Teraju Liga

London: Jaringan tunggal Olivier Giroud sudah cukup buat Arsenal kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Newcastle United 1-0 di St James' Park malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Arsene Wenger mengumpul 42 mata selepas mengharungi 19 perlawanan untuk mengatasi pencabar utama, Manchester City yang meraih 41 mata.

Namun ia bukan tiga mata yang mudah buat Arsenal apabila gagal menggegar gawang lawan yang dikawal Tim Krul dalam tempoh 45 minit pertama dan terpaksa menunggu hingga minit ke-65 apabila penyerang Perancis itu berjaya menyambut hantaran Theo Walcott dengan tandukan susulan sepakan percuma untuk menggegar gawang bagi memastikan kemenangan 1-0.
Pelawat berpeluang menambah jaringan empat minit kemudian namun percubaan Walcott diselamatkan pemain lawan di garisan gol ketika Krul sudah tertewas.

Tuan rumah cuba menggandakan asakan pada lewat perlawanan untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan namun keadaan semakin sukar apabila Arsenal meningkatkan penguasaan bola terutamanya dengan kemasukan Mikel Arteta menggantikan Kieran Gibbs yang mengalami kecederaan pada minit ke-71 untuk memastikan kemenangan ke-13.
Hmetro.com.my

' Arkitek ' United

Norwich, England: David Moyes memuji Danny Welbeck yang menjadi kunci utama menghidupkan peluang Manchester United untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Norwich di tempat lawan.
Moyes tidak dapat menggunakan khidmat Robin van Persie serta Wayne Rooney kerana kedua-duanya mengalami kecederaan dan awalnya meletakkan Welbeck di bangku simpanan di Carrow Road.

Namun pemain berusia 23 tahun itu muncul penyelamat apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57 sekali gus menyaksikan United menang kali keenam berturut-turut dalam semua pertandingan.
Juara bertahan itu kini menduduki tangga keenam, hanya ketinggalan dua mata berbanding empat pasukan teratas.

Aksi cemerlang Welbeck menutup permainan lincah penyerang Javier Hernandez yang berada dalam kesebelasan utama dan Moyes pantas memuji pemain itu.

“Jika anda melihat kepada prestasi Welbeck ketika ini, dia menjadi antara tonggak penting di Manchester United.
“Jaringannya mengubah nasib kami tapi aksi Welbeck berjaya mengubah corak permainan secara keseluruhan.

“Kami sepatutnya meletakkannya dalam kesebelasan utama tapi dia sudah beraksi. Kami juga mahu memastikan dapat menyusun skuad yang membolehkan semua pemain dapat beraksi serta membuktikan sesuatu.
“Welbeck beraksi sangat cemerlang dan memberi impak besar selepas dimasukkan,” katanya.

Jaringan Welbeck itu adalah yang ke-10 sepanjang musim ini dan yang ketujuh untuk United.

Situasi itu menunjukkan prestasinya lebih baik berbanding musim lalu apabila hanya menyumbang dua gol untuk United tetapi Moyes percaya, Welbeck mampu beraksi lebih baik di depan gawang lawan.

“Dia seorang pemain yang bagus dan apa yang diperlukannya ialah supaya lebih tajam ketika melakukan penyudah,” katanya. - AFP
Hmetro.com.my

Anelka Nafi Rai Goal Beunsur Anti-Yahudi

London: Penyerang West Brom, Nicolas Anelka menafikan caranya meraikan jaringan berunsur anti-Yahudi ketika seri 3-3 dengan West Ham kelmarin, menurut jurulatih sementara Keith Downing.
Pemain berusia 34 tahun itu membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak Oktober lalu pada perlawanan di Upton Park dan meledak dua jaringan dalam tempoh lima minit sebelum tamat babak pertama.

Selepas menjaringkan gol pertama, dia meletakkan tangan kirinya bersilang di badannya untuk melakukan tanda hormat yang dinamakan “quenelle”, dipopularkan pelawak berhaluan kiri Perancis, Dieudonne, yang juga salah seorang rakan Anelka.
Gerak badan itu dikaitkan dengan anti-Yahudi di Perancis, dengan Menteri Dalam Negeri Perancis Manuel Valls menggesa persembahan Dieudonne diharamkan.

Tindakan Anelka itu mencetus kekecohan dalam laman sosial namun Downing berkata, bekas penyerang Perancis itu hanya menyuarakan sokongannya kepada pelawak itu.

“Saya menyedarinya, namun ia tiada berkaitan dengan apa yang diperkatakan,” kata Downing.
“Ia dedikasi kepada pelawak Perancis yang amat dikenalinya. Dia menterjemahkannya menerusi gerakan badannya dan saya fikir spekulasi ini sudah boleh dihentikan. Ia adalah mengarut.

“Dia tidak menyedari apa masalah atau spekulasi yang ditimbulkan. Dia amat terkejut.” - AFP
Hmetro.com.my

Saturday, 28 December 2013

FAM Nadi Bola Sepak Negara



Tentu ramai yang sedar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini memberi penghormatan kepada beberapa bekas Setiausaha Agung sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.
FAM percaya anugerah itu membawa erti yang besar kepada mereka yang pernah memberi khidmat terbaik masing-masing ketika memegang jawatan cukup mencabar itu. 
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Setiausaha Agung FAM adalah nadi utama bola sepak Malaysia. Ia bukan sekadar penjaga kepada Wisma FAM, tetapi tugas Setiausaha Agung turut merangkumi hampir semua perihal bola sepak di seluruh negara – daripada kerja surat-menyurat, dasar teknikal, kerjasama semua agensi pelaksana, pemegang kepentingan di peringkat negeri sehinggalah hubungan antarabangsa. 

Sejak perang dunia kedua, sembilan individu sudah dilantik memegang jawatan yang saya anggap sebagai nadi utama pentadbiran bola sepak negara itu.

Mereka ialah AR Singam (1940-48), SCE Singham (1948-1951), Datuk Kwok Kin Keng (1951-1979), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan (2000-2005), Datuk Seri Dr Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007-2013) sebelum saya sendiri mengambil alih jawatan berkenaan pertengahan tahun ini.

Semua bekas Setiausaha Agung pasti ada ceritanya sendiri, suka dan duka dalam menjalankan tugas mereka. 

Mengikut zaman dan keadaan dari semasa ke semasa, saya percaya pendahulu saya menempuh era berbeza, cabaran berlainan dengan tekanan dan tuntutan berbeza. 

Landskap zaman Datuk Kwok Kin Heng dalam mengatur urus setia FAM tentunya berlainan dengan era hari ini. Ketika itu, FAM diterajui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj manakala Ahli Jawatankuasa tertinggi FAM pula dianggotai orang besar kerajaan. 

Bola sepak diurus individu yang ghairah meminati bola sepak tetapi disokong sepenuhnya ahli politik dan pegawai kerajaan berhemah tinggi dan budiman dalam sama-sama merangka dasar. 

Era semi-pro muncul pada 1989 dengan Datuk Paul Mony yang kini kurang sihat, sebagai penggerak utama selaku Setiausaha Agung FAM. 

Pengalaman menjadi sebahagian daripada ahli majlis FAM dan juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendedahkan saya kepada corak pentadbiran empat Setiausaha Agung – Datuk Paul Mony, Datuk Dell, Datuk Seri Ibrahim dan Datuk Azzuddin. 

Kita tidak boleh melupakan jasa-jasa mereka. Apabila saya diberi kepercayaan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah untuk menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM ini, saya sedar cabaran yang harus dilalui. 

Hari ini semua orang adalah pengkritik dan badan sukan yang paling mudah dikritik serta menjadi tumpuan tentu sekali FAM kerana ia adalah badan induk yang menjaga sukan nombor satu negara. 

Media sosial adalah antara ruang paling besar untuk masyarakat dan pemerintah membuat komen sama ada bernas atau sekadar meluahkan kemarahan. 

Setiap keputusan, dasar dan kenyataan pihak FAM akan dianalisis dan dikaji. Kesalahan akan diperbesarkan tetapi yang betul lazimnya tidak dihebohkan. 

Namun, FAM tetap mengambil positif semua teguran dan pandangan pihak lain. 

Yang penting, pembuat dasar FAM harus ikhlas dalam melaksanakan tugas atas nama institusi bukan individu.
Hmetro.com.my

FAM Nafi Tidak Beri Masa Yang Cukup



Kelana Jaya: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mereka tidak memberi cukup masa untuk lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur memfailkan pembelaan sehingga mereka dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan pada 20 Disember lalu.
Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Taufek Abd Razak berkata, FAM sudah menyerahkan surat pertuduhan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa untuk dimaklumkan kepada semua tertuduh bagi membuat pembelaan dalam masa tujuh hari.
“Kita memanggil Nokman untuk menerima kertas pertuduhan itu kerana kertas pertuduhan tidak dialamatkan kepada tertuduh sebaliknya kepada setiausaha bola sepak negeri atau kelab.
Tidak timbul masalah (lewat terima surat) kerana kita sudah serahkan surat kepada setiausaha pasukan terbabit secara peribadi, tinggal lagi sama ada setiausaha yang lambat memaklumkan kepada pihak tertuduh dan itu bukan masalah di peringkat FAM.

Mengikut peraturan kita memberikan tempoh seminggu kepada tertuduh untuk membuat pembelaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM semalam.
Taufek berkata demikian berikutan timbul dakwaan lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur termasuk jurulatih dari Slovakia Stanislav Lieskovsky yang digantung seumur hidup dan denda RM20,000 tidak mempunyai cukup masa untuk mengemukakan pembelaan kepada jawatankuasa itu.
Selain Lieskovsky, turut menerima hukuman berat atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan adalah penolong pengurus Rosdi Omar, Shaari Jani (pegawai), Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhulah Yunsifar dan Phoo Kai Lun (pemain).
Sementara itu nasib tujuh lagi pemain skuad Liga Perdana Kuala Lumpur itu yang didakwa atas kesalahan yang sama bakal diketahui pada 7 Januari selepas jawatankuasa itu hanya sempat membicarakan dua kes saja membabitkan penjaga gol Azizon Abd Khadir dan pemain pertahanan kiri Benedict Martin yang memakan masa empat jam.
Baki lima lagi kes membabitkan Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S Sivaraj dan Mohammad Amirul Asraf Mohd Nor bakal dibicarakan pada 3 dan 7 Januari.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets