Newcastle, England: Arsene Wenger menegaskan anak buahnya semakin matang selepas melontarkan cabaran kepada pendahulu Liga Perdana Arsenal untuk mengekalkan saingan merebut kejuaraan pada kempen Tahun Baru.
Skuad kendalian Wenger itu menamatkan 2013 dengan mengumpul 82 mata, lebih banyak berbanding pencabar Liga Perdana yang lain selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Newcastle untuk kembali merampas kedudukan teratas liga.
Tujuh daripada sembilan kelab yang menerajui liga ketika memasuki Tahun Baru muncul juara Inggeris pada Mei.
Wenger enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu yang menyaksikan anak buahnya bergelut dengan fizikal dan mental dalam perlawanan itu selain kemahiran teknikal yang mereka miliki.
Namun pengendali dari Perancis itu mengakui beliau kagum dengan kemampuan pemainnya yang beraksi baik tanpa kehadiran Mesut Ozil yang diharapkan akan kembali pulih daripada kecederaan dalam tempoh terdekat ini.
Selepas Olivier Giroud meraih gol ke-11 musim ini untuk memastikan kemenangan, Wenger berkata: “Newcastle memberi cabaran fizikal yang hebat buat kami tapi kami berjaya mengatasinya.
“Kami membuktikan satu lagi kekuatan kami hari ini (semalam) iaitu kualiti kecergasan. Semua pemain bergerak di setiap sudut di padang. Kami mempunyai kemahiran teknikal yang bagus tapi kami juga mempamerkan kekuatan mental.
“Ada sesuatu yang istimewa dalam pasukan ini. Kualiti kecergasan kami sering dipertikaikan tapi kami membuktikan kekuatan sebenar kami.
“Pasukan ini mempunyai perpaduan dan kekuatan tersendiri. Mungkin beberapa tahun lalu, pemain muda kami gagal menyerap tekanan seperti ini terutama pada 15 minit terakhir.” Mengulas mengenai persembahan pasukannya tahun ini, Wenger menjelaskan: “Kami menamatkan kempen dengan baik musim lalu dan jika anda lihat secara keseluruhan, kami sangat konsisten pada 2013.” - AFP
Hmetro.com.my