Swansea: Ross Barkley membantu Everton mencatat kemenangan 2-1 ke atas Swansea City menerusi sepakan percuma pada lewat permainan semalam namun dia mengakui tidak pernah membuat latihan sepakan dari gerakan ‘set-piece’.
Pemain tengah berusia 20 tahun itu yang membuat penampilan pertama bersama England musim ini menamatkan permainan di Liberty Stadium dengan sepakan percuma menarik dari jarak 22 ela melepasi benteng pertahanan lawan yang terkena bawah palang sebelum menerjah ke jaring.
Selepas terlepas peluang untuk meletakkan Everton di depan apabila dia terjatuh ketika mahu melakukan sepakan, dia ternyata gembira apabila diberikan peluang untuk mengambil sepakan percuma itu.
“Saya lega kerana pada awalnya saya mempunyai peluang terbaik untuk menghasilkan gol ketika permainan berbaki 20 minit tapi malangnya saya terjatuh.
Ia bonus bagi saya untuk melihat sepakan percuma memasuki gawang dan jaringan itu memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya.
“Saya memberitahu kepada Romelu Lukaku supaya membenarkan saya mengambil sepakan itu kerana saya dapat melihat peluang menjaringkan gol dan yakin “saya boleh melakukannya.” “Saya tidak berlatih membuat sepakan percuma kerana selalunya tugas itu diambil oleh Leighton Baines jadi ini peluang terbaik saya.” Persembahan Barkley itu turut mendapat pujian pengurus Roberto Martinez.
“Bila anda melihat seseorang seperti Ross Barkley yang meningkat setiap perlawanan, itu membuktikan ada perbezaan dari segi permainannya.
Dia adalah permata menakjubkan bola sepak Inggeris dan sepakan percuma yang diambilnya itu menunjukkan potensi dirinya,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Dia adalah permata menakjubkan bola sepak Inggeris dan sepakan percuma yang diambilnya itu menunjukkan potensi dirinya,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
- AFP
Hmetro.com.my