Nay Pyi Taw: Empat perlawanan peringkat kumpulan tanpa sebarang gol tidak meresahkan penyerang skuad Bawah 23 tahun negara, A Thamil Arasu.
Berada dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan peringkat liga, dia masih belum menemui sentuhan penyudah yang diharapkan namun ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur kerana dia sebenarnya berjaya menghadirkan gerun dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Malah penyerang kelahiran Banting berusia 22 tahun tidak kisah jika terus “berkorban“ demi kemenangan pasukan pada aksi separuh akhir menentang Indonesia di Stadium Zeyer Thiri hari ini.
“Ia tidak menimbulkan masalah walaupun memang saya rasa cemburu rakan lain yang sudah meledak jaringan. Tapi ia bukan satu masalah kerana sesiapa saja yang menjaringkan akan membantu kemaraan pasukan ke final,” katanya selepas sesi latihan semalam.
Peranan Thamil amat besar kepada pasukan kerana memudahkan pengendali negara Datuk Ong Kim Swee mengubah taktik dan perancangan pasukan kerana kemampuannya beraksi dua posisi iaitu penyerang tengah dan sayap.
Hingga kini dua penyerang negara Ahmad Hazwan Bakri muncul antara empat penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol dengan Rozaimi Abd Rahman (gambar) meledak dua gol selain seorang lagi penyerang, Izzaq Faris Ramlan turut ketandusan gol kerana jarang diturunkan.
“Saya harap kami mampu meneruskan peningkatan seperti yang dipamerkan, cuma kami perlu mengikut arahan jurulatih bagi memastikan tiket ke final mampi diraih,” katanya yang juga antara tujuh pemain yang memenangi pingat emas edisi 2011 di Indonesia.
Hmetro.com.my