Barcelona: Mahkamah tempatan mengarahkan Barcelona untuk menyerahkan butiran proses pembelian Neymar sebelum dakwaan salah guna dana yang dikenakan terhadap presiden kelab, Sandro Rosell dapat dibuktikan.
Kes itu dibawa ke mahkamah oleh ahli kelab Jordi Cases.
Penyerang Brazil itu diikat kelab juara Sepanyol itu dengan nilai 57.1 juta euro (RM255.6 juta) dengan 17.1 juta euro (RM76.5 juta) diperuntukkan untuk bekas majikan pemain itu, Santos.
Cases mahu penjelasan apa yang berlaku terhadap baki 40 juta euro (RM179.1 juta) ketika Barcelona berkata ia diserahkan kepada syarikat yang dikenali sebagai Neymar& Neymar.
“Kami tidak tahu apa yang berlaku ke atas baki 40 juta euro (RM179.1 juta) yang sepatutnya dibayar kepada pemain atau wakilnya,” kata Cases.
Hakim Pablo Ruz memberikan Barcelona tempoh lima hari untuk menyerahkan kontrak Neymar.
Beliau turut meminta kelab itu menyerahkan laporan kewangan untuk tempoh tiga tahun bagi membandingkan kedudukannya sebelum pemain berusia 21 tahun itu menyertai Barcelona.
“Ia adalah tuduhan tanpa asas. Saya tetap tenang,” kata Rosell.
Jurucakap Barcelona, Toni Freixa berkata, kelab itu tidak berniat untuk melindungi apa-apa kepada semua ahli kelabnya.
“Kami menjalankan pembelian itu dengan telus dan kami tidak bimbang,” katanya.
“Kami sudah menerangkan jumlah itu diserahkan kepada syarikat. Jika hakim mahukan segala butiran dan dokumen mengenainya, kami sedia menyerahkan dokumen berkenaan.” - Reuters
Hmetro.com.my