Kuantan: Ruang buat pemain tengah Azidan Sarudin untuk terus menerajui jentera perancang Pahang musim ini dilihat terbuka luas terutama selepas rakan sepasukan Amirulhadi Zainal berhijrah ke Johor Darul Takzim (Johor DT).
Ternyata peluang yang terhidang itu akan direbut sebaik mungkin pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bagi membuktikan kelibatnya bakal menjadi senjata utama skuad Tok Gajah yang mendapat sentuhan jurulatih Ron Smith.
“Mungkin ada hikmah serta kebaikan di sebalik ketiadaan Amirulhadi musim ini yang ternyata membuka lebih ruang kepada saya meneraju posisi tengah bersama Mohd Hafiz Kamal.
“Bagaimanapun, peluang yang terhidang itu tidak bermakna saya berada dalam ruang selesa tanpa pencabar. Justeru untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama terus terjamin prestasi terbaik perlu dipamerkan.
“Sikap tegas jurulatih (Smith) menggambarkan peluang saya untuk berada dalam senarai utama bukan suatu jaminan sebaliknya perlu membuktikan keupayaan diri,” katanya.
Azidan berkata, tidak dinafikan skuad Tok Gajah musim ini dilihat lebih mantap berbanding musim lalu terutama dengan kehadiran dua tenaga import baru iaitu Dickson Nwakaeme dan Zeshan Rehman.
Namun katanya, kini terpulang kepada jurulatih untuk mencorak pasukan bagi membentuk skuad terbaik dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia seterusnya mengintai peluang merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala FA.
“Saya berjanji memberi persembahan terbaik untuk skuad Tok Gajah musim ini dalam memastikan kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) berjaya diterjemahkan dan ia bukan suatu cakap kosong.
“Bagaimanapun, untuk melakar kejayaan membanggakan kerjasama semua pemain ditagih, sukan bola sepak memerlukan komitmen kesebelasan utama bukan dua atau tiga pemain saja,” katanya yang kini sedang membuat persediaan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih bertemu LionsXII dari Singapura pada 14 Januari ini.
Hmetro.com.my