Ipoh: Meningkatkan kemampuan anak buahnya dari aspek kecergasan dan ketahanan fizikal adalah tumpuan utama jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim dalam sesi latihan saban hari ketika ini.
Selain itu Bakar juga berharap mewujudkan gandingan mantap melalui kemahiran individu dan semangat berpasukan bagi menghadapi cabaran dalam kempen kali ini.
“Semua elemen ini penting dalam sesebuah pasukan jika bercita-cita menjadi juara. Justeru pemain Perak perlu mempunyai perwatakan mantap untuk menjadi pesaing kepada pasukan lain,” kata Bakar semalam.
Jurulatih itu yang akan menyandarkan harapan kepada barisan pemain muda sedar tugas berat yang dihadapinya untuk menggarapkan tenaga mereka dalam usaha membentuk adunan mantap.
“Akan mengambil sedikit masa tapi berkat kerja keras dan kesungguhan pemain saya yakin usaha itu akan membuahkan hasil.
“Empat pemain import serta berpengalaman seperti Hardi (Jaafar) dalam pasukan boleh menjadi pembimbing bagi pencetus dan pemangkin semangat pemain muda,” katanya.
Malah jurulatih itu yakin berdasarkan persaingan sengit dalam pasukan akan memudahkan lagi tugasnya untuk menyediakan pasukan berwibawa.
“Apa yang penting semangat pemain ketika ini begitu berkobar-kobar. Pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan ialah buktikan kesungguhan semasa latihan serta menggunakan kesempatan bermain untuk meyakinkan saya.
“Bagi saya tiada pemain yang mendapat tempat dalam pasukan secara automatik hanya kerana nama.”
Hmetro.com.my