London: Pengurus Manchester United, David Moyes memberi amaran kepada kapten, Nemanja Vidic dan memberitahu dia perlu bersaing untuk mendapat semula tempatnya dalam kesebelasan utama.
Vidic sudah cergas untuk perlawanan suku akhir di Stoke City selepas tidak beraksi pada dua perlawanan terakhir bersama United akibat cedera ketika tewas 1-0 di tangan Newcastle United.
Biarpun dengan ketiadaan Vidic, United mencatat rekod bersih tanpa dibolosi pada perlawanan dimenangi United 1-0 mengatasi Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara dan menang 3-0 di Aston Villa dalam saingan Liga Perdana.
Jonny Evans dan Phil Jones menyerlah selaku bek tengah ketika menentang Villa dengan Vidic terus dibelenggu kecederaan sambil rakan gandingannya, Rio Ferdinand kini berusia 35 tahun.
Begitupun, Moyes menganggap semua gandingan itu tidak lagi wujud.
“Nemanja sudah bersedia untuk bermain sekarang,” kata Moyes dalam sidang akhbar.
“Kami memiliki lima pemain bek tengah. Kami boleh menggunakan Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans, Rio Ferdinand dan dia (Vidic). Terdapat persaingan untuk mendapat tempat dan pemain perlu bermain dengan baik untuk kekal dalam pasukan.” Moyes hampir pasti beraksi tanpa penyerang Robin van Persie yang mengalami kecederaan paha serta pemain tengah, Michael Carrick yang cedera di tumit untuk menentang Stoke sementara masih terdapat keraguan terhadap tahap kecergasan Javier Hernandez dan Shinji Kagawa. - AFP
Hmetro.com.my