Manaus, Brazil: Negeri di utara Brazil, Amazonia diberi kebenaran menyambung semula kerja-kerja pembinaan stadium Piala Dunia di Manaus selepas dihentikan seketika kerana berlaku kematian buruh binaan.
Penyambungan semula kerja-kerja binaan bermula sejak Isnin lalu namun tidak membabitkan bumbung tempat berlaku insiden buruh binaan berusia 22 tahun terjatuh dari ketinggian 35 meter (110 kaki) selepas kabel keselamatannya terputus.
Bagaimanapun, pejabat pendakwaraya yang meluluskan penyambungan semula kerja-kerja binaan itu melarang kerja binaan dilakukan pada waktu malam.
Buruh itu adalah mangsa kedua yang mati di Arena Amazonia tahun ini.
Satu siasatan mengenai kesihatan dan keselamatan di tapak binaan ditingkatkan kontraktor utama, Andrade Gutierrez apabila meningkatkan penyeliaan perkakasan dan kelengkapan keselamatan.
Syarikat itu berdepan denda harian 100,000 reais (RM147,237) jika gagal memenuhi arahan keselamatan pihak kehakiman.
Pekerja mengancam mogok selepas tragedi Sabtu lalu itu, kejadian keempat berlaku di tapak binaan stadium Piala Dunia.
Pada 27 November, dua pekerja binaan mati di Stadium Sao Paulo iaitu venue perlawanan pembukaan antara Brazil dan Croatia pada 12 Jun.
Di Manaus pula, kematian pertama berlaku pada Mac lalu apabila buruh berusia 49 tahun mati selain satu lagi kematian berlaku di tapak binaan stadium baru di Brasilia tahun lalu. - AFP
Hmetro.com.my