London: Manchester United menumpaskan Stoke City 2-0 semalam untuk melangkah ke separuh akhir Piala Liga manakala era Tottenham Hotspur tanpa Andre Villas-Boas bermula dengan kekalahan kepada West Ham United.
Selepas ribut petir pada babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa meninggalkan padang di Stadium Britannia, penantian United akhirnya terlerai menerusi jaringan Ashley Young dan Patrice Evra.
Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan separuh akhir dengan Sunderland yang mengatasi Chelsea 2-1 semalam manakala West Ham akan menentang Manchester City dengan aksi pertama kedua-dua perlawanan itu pada 6 Januari.“Mana-mana pasukan yang mendapat gol pertama malam ini (semalam) akan mempunyai kelebihan,” kata pengurus United David Moyes.
“Ia perlawanan yang sengit. Kami mempamerkan permainan yang baik. Kami mencipta banyak peluang tapi Stoke turut mencipta banyak peluang.” Mengulas mengenai pertemuan dengan Sunderland, beliau berkata: “Ini perlawanan Piala Liga. Ini membuktikan betapa Sunderland pasukan yang bagus, mereka mengalahkan Chelsea semalam (kelmarin). Mereka bermain dengan baik untuk mendapat keputusan itu.
“Mereka mempunyai pengurus baru (Gus Poyet), banyak perkara boleh terjadi dalam tempoh sebelum perlawanan namun yang pasti kami sangat gembira kerana mara ke separuh akhir.” Tanpa kehadiran Wayne Rooney yang diketepikan kerana mengalami kecederaan, Moyes meletakkan Danny Welbeck sebagai penyerang tunggal manakala Chris Smalling, Anderson dan Young turut disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Young memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila mendapat hantaran lintang Welbeck namun sepakannya tersasar.
Perlawanan tergendala akibat ribut petir pada minit ke-28 memaksa pemain dan pegawai perlawanan meninggalkan padang sebelum perlawanan bersambung semula 10 minit kemudian.
Jonny Evans hampir meletakkan United di depan sebelum babak pertama tamat bagaimanapun percubaannya tidak tepat ke sasaran selepas menerima bola tolakan Smalling di tepi tiang gol.
Moyes memasukkan Javier Hernandez ketika permainan berbaki setengah jam dan beberapa minit selepas itu Young berjaya memecah kebuntuan dengan aksi bergaya.
Bekas pemain sayap Aston Villa itu membuat hantaran ke arah Hernandez dan apabila bola kembali semula ke kakinya di penjuru kotak, dia melakukan rembatan deras menewaskan Thomas Sorensen.
Stoke cuba bangkit namun United menutup peluang pasukan lawan pada minit ke-78 apabila Evra yang mengatur gerakan dengan Young berjaya melepaskan rembatan lencong di penjuru kanan gawang.
Turun beraksi buat kali pertama sejak Villas-Boas dipecat Isnin lalu, Spurs mensia-siakan kelebihan gol awal untuk tumpas 2-1 di gelanggang sendiri kepada musuh setempat, West Ham.
Pemecatan Villas-Boas tampak mengejutkan produser program perlawanan Tottenham apabila dia masih menyenaraikan nama pengendali dari Portugal itu sebagai “Ketua Jurulatih”. Pengendali sementara, Tim Sherwood melakukan rombakan dengan menurunkan Emmanuel Adebayor dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini bersama Jermain Defoe dan gandingan itu berjaya menghadiahkan gol pendahuluan kepada Spurs pada minit ke-67. - AFP
Hmetro.com.my