Kuantan: Prestasi cemerlang terutama dalam saingan Piala
Malaysia membuktikan Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid (gambar) mampu memikul
tanggungjawab penjaga gol utama Pahang bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pada masa sama, Khairul Azhan yang lebih mesra dengan panggilan
Yan hanya perlu bersaing dengan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Nourdin
manakala Pahang pula menyenaraikan Muhammad Saufi Mohamad sebagai penjaga gol
ketiga.
Sudah pasti saingan kini dilihat antara Khairul Azhan dan Nasril
sebagai benteng terakhir yang mengawal gawang daripada dibolosi lawan.
Namun, penjaga gol berusia 24 tahun itu tidak mahu kejayaan
membantu skuad itu muncul juara Piala Malaysia musim ini melekakannya.
Sebaliknya, dia mahu memastikan pengalaman beraksi di pentas
final piala berprestij itu mematangkannya sekali gus menjadi penjaga gol yang
disegani pada masa depan.
“Oleh itu saya harap prestasi lebih baik terutama mengekalkan
posisi selaku penjaga utama Pahang musim 2014 walaupun kedudukan itu masih
belum terjamin.
“Saya percaya dengan sokongan dan bimbingan jurulatih, komitmen
lebih tinggi dalam memastikan kejayaan buat skuad Tok Gajah,” katanya semalam.
Pada awal musim ini, Khairul Azhan tidak sangka mendapat
kepercayaan daripada jurulatih Dollah Salleh untuk mengawal gawang kerana
diletakkan sebagai penjaga gol ketiga.
Namun, kepercayaan yang diberikan Dollah ternyata memberi
semangat baru untuk mempamerkan aksi terbaik dan ia berhasil apabila
disenaraikan dalam kesebelasan utama termasuk beraksi di pentas final Piala
Malaysia.
Seharusnya Khairul Azhan berterima kasih kepada jurulatih
penjaga gol yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Muadzar Mohamad yang
membantu meningkatkan prestasinya sepanjang musim ini.
Hmetro.com.my