Manchester, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya anak buahnya mampu menjadi pencabar utama perebutan empat trofi musim ini selepas melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.
Edin Dzeko menyumbang gol tunggal pada babak kedua di Stadium Etihad sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri.
Dengan City turut bersaing pada saingan Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA, Pellegrini berkata, anak buahnya jelas berada di landasan tepat seperti yang dimahukan olehnya.
“Kami sedar kami berada pada kedudukan yang dimahukan di awal saingan liga.
“Kami beraksi di semua saingan. Dalam Piala Liga kami sudah sampai ke separuh akhir, layak ke saingan Liga Juara-Juara dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
“Mungkin lapan perlawanan sebelum ini, tiada siapa yang percaya kami mampu mengatasi kelebihan enam mata yang dimiliki Arsenal.
“Kami mencatat tujuh kemenangan dan seri sekali. Kami perlu meneruskan rentak ini tapi apapun, segala-galanya masih terlalu awal.
“Separuh lagi saingan liga pasti tidak banyak bezanya berbanding ketika ini dengan lima atau enam pasukan akan bersaing sengit.
Dzeko menyempurnakan hantaran Jesus Navas pada minit ke-66 untuk memastikan City meraih tiga mata penuh tetapi prestasi Joe Hart di gawang gol juga cukup cemerlang. - AFP
Hmetro.com.my