London: Arsenal dan Chelsea mengisi kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris ketika ini tetapi masing-masing mahu melupakan aksi buruk pada perlawanan sebelum ini menjelang pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan pada pagi Isnin.
Kegembiraan yang dirasai pengurus Arsenal, Arsene Wenger sebelum ini, tergugat apabila dimalukan 6-3 oleh Manchester City, Sabtu lalu keputusan yang menyaksikan kelebihan Gunners kini hanya tinggal dua mata.
Kekalahan itu hadir selepas ditundukkan 2-0 oleh Napoli pada saingan Liga Juara-Juara tetapi mujur Arsenal tetap melangkah ke peringkat kalah mati selaku naib juara kumpulan tetapi perlu berdepan Bayern Munich.
Wenger menyalahkan jadual padat yang mendorong anak buahnya beraksi hambar tetapi beliau juga sedar pertahanannya semakin longgar apabila melepaskan lapan gol sepanjang dua perlawanan.
“Kami bertahan dengan baik dan tidak menunjukkan persefahaman di posisi itu,” kata Wenger selepas kekalahan di tangan City.
“Ia kelihatan terlalu mudah dibolosi. Kami pernah dianggap sebagai pasukan yang memiliki benteng terkuat tetapi melepaskan enam gol dalam satu perlawanan pastinya tidak boleh diterima. Ia berlaku disebabkan kami hilang disiplin dan itulah yang perlu kami terima.
“Jadual tidak membantu kami. Cuba fikirkan perkara itu juga,” katanya. “Anda boleh lihat pemain kami keletihan apabila terpaksa bermain pada Ahad, Rabu serta pagi Sabtu. Pastinya ia sukar.” Arsenal perlu beraksi tanpa Jack Wilshere yang berdepan penggantungan dua perlawanan kerana kesalahan menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong City di Stadium Etihad hujung minggu lalu.
Chelsea turut mahu bangkit memperkemaskan aksi selepas tewas di tangan Sunderland pada saingan Piala Liga selain hambar ketika menang 2-1 ke atas Crystal Palace minggu lalu.
Mereka berjaya melakukan 17 percubaan ketika menentang Sunderland dan pengurus Jose Mourinho berkata mereka terpaksa berputih mata kerana gagal menjaringkan gol ketika peluang terbuka.
“Cerita sama juga berlaku ketika kami menentang Stoke, Everton serta semua perlawanan yang menyaksikan kami tewas,” kata pengendali Portugal itu.
“Kami tidak pernah kalah disebabkan lawan lebih kuat.
“Kami hanya gagal membunuh semangat lawan. Itulah yang berlaku.” Selepas menang semua lapan perlawanan di gelanggang sendiri dan menjaringkan 35 gol, pasukan di tangga keempat, Manchester City akan bertandang ke Fulham, esok.
Sergio Aguero yang sudah menjaringkan 13 gol, tidak dapat beraksi dua bulan akibat kecederaan betis manakala Pablo Zabaleta cedera hamstring ketika menang 3-1 pada saingan Piala Liga ke atas Leicester City.
Pasukan di tangga kedua, Liverpool yang berkongsi 33 mata dengan Chelsea, masih lagi bersemangat selepas Luis Suarez menjana kemenangan 5-0 ke atas Tottenham Hotspur keputusan yang menyaksikan pengurus Spurs, Andre Villas-Boas dipecat akan terus menekan Arsenal dan Chelsea jika menang ke atas Cardiff City. - Reuters
Hmetro.com.my