Alor Setar: Isu pertukaran logo baru Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) daripada Kenari kepada Helang Merah terus mendapat perhatian ramai terutama daripada penyokong setia skuad Hijau Kuning apabila membantah tindakan itu.
Rata-rata peminat setia pasukan bola sepak negeri itu terkilan dengan tindakan KFA berikutan tidak mendapatkan pandangan daripada penyokong setia terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah Nor Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya terkilan dengan pertukaran logo baru KFA kerana ia dibuat tanpa mengambil kira pandangan peminat setia bola sepak Hijau Kuning.
Katanya, KFA sepatutnya perlu mengambil kira pandangan peminat kerana bola sepak adalah sukan utama di Kedah selain mereka sentiasa berdiri di belakang pasukan ketika jatuh dan naik pasukan berkenaan dalam arena bola sepak tanah air.
“Sukan bola sepak mempunyai aura tersendiri di kalangan peminat setia di negeri ini.
Jadi kalau boleh sebelum keputusan diambil mengenainya, biarlah ia mengambil pandangan kami yang selama ini memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada skuad Kenari.
“Lebih dikesalkan apabila isu pertukaran logo ini hanya diketahui peminat menerusi laman web sahaja.
Kami mendapat tahu ia sudah diluluskan dalam Kongres KFA 2013 untuk digunakan pada musim depan,” katanya, semalam.
Kami mendapat tahu ia sudah diluluskan dalam Kongres KFA 2013 untuk digunakan pada musim depan,” katanya, semalam.
Kelmarin Harian Metro melaporkan pengesahan logo baru KFA yang ditukar daripada Kenari kepada Helang Merah akan digunapakai oleh skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga Perdana musim depan.
Nor Hasmadi berkata, dia tidak menolak kemungkinan KFA mempunyai sebab tersendiri mengenai pertukaran logo berkenaan termasuk untuk mengembalikan semangat kepada pasukan bola sepak Kedah pada musim depan.
Bagaimanapun katanya, pertukaran logo itu secara perlahan-lahan bakal melenyapkan identiti bola sepak Kedah yang selama ini sudah sinonim dengan gelaran Kenari.
“Ya, kami akui mungkin Helang Merah lebih hebat daripada Kenari, tetapi kalau boleh sebelum membuat keputusan ia wajar dikaji terlebih dahulu.
Bayangkan kalau peminat memboikot dan tidak datang ke stadium memberi sokongan kepada pemain, perkara itu harus diambil kira.
“Walaupun kami kecewa, tetapi sebagai peminat setia bola sepak Kedah, kami tetap akan memberi sokongan padu kepada pemain dan berharap KFA mengambil iktibar dengan berbincang terlebih dahulu dengan kelab penyokong sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Hmetro.com.my