Manchester, United Kingdom: Pengurus Manchester United David Moyes mempertahankan pemain sayap mudanya, Adnan Januzaj yang dikaitkan dengan tuduhan sengaja merebahkan badan.
Pemain berusia 18 tahun itu dilayangkan kad kuning kerana didapati sengaja menjatuhkan badan pada babak pertama perlawanan ketika United menang selesa 3-1 ke atas West Ham United kelmarin selepas dijatuhkan pertahanan lawan James Collins, namun pemain itu juga menjaringkan gol cantik dan mungkin sepatutnya dihadiahkan penalti.
Begitupun, Moyes menganggap kad kuning itu sebagai boleh diterima, cuma beliau berasa pelik adalah apabila pengadil Michael Jones sekadar melayangkan kad kuning kepada pertahanan West Ham, George McCartney biarpun pemain itu menerjah dengan cara berbahaya ke arah buku lali Javier Hernandez pada lewat permainan.
“Jones nampak simulasi pada satu insiden tapi, yang satu lagi beliau tidak nampak,” kata Moyes.
“Saya rasa, Adnan sememangnya dapat menjangka terjahan daripada Collins, tapi jika anda melihat pada dua perlawanan terakhir, jumlah kekasaran terhadapnya jauh lebih banyak berbanding pemain lain.
“Jadi kami perlu bercakap dengannya mengenai perkara ini, tapi anda (wartawan) tersilap memilih pemain hari ini.
“Minggu lalu, saya katakan bahawa ramai pemain menyepak dia kerana dia sukar dikawal, dia lincah bergerak dan itu menyebabkan pertahanan lawan mengasarinya.
“Apapun, pengadil yang menentukannya dan saya berharap situasi tidak menjadi buruk jika tindakan tidak diambil dari awal.” -AFP
Hmetro.com.my