London: Pengurus Everton Roberto Martinez menegaskan kelabnya tidak akan menjual bintang baru Liga Perdana Ross Barkley meskipun mereka menerima tawaran setinggi rekod dunia untuk pemain itu.
Barkley, 20, antara salah seorang pemain yang menyerlah pada separuh musim ini dan mencuri tumpuan sekali lagi apabila menjaringkan gol kemenangan Everton 2-1 ke atas Swansea City menerusi sepakan percuma lewat permainan Ahad lalu.
Pemain tengah itu membuat penampilan pertama bersama England pada September lalu dan dijangka bakal mendapat tempat dalam skuad ke Piala Dunia tahun depan manakala Martinez menganggap Barkley seperti Michael Ballack dan Paul Gascoigne.
Bagaimanapun pengendali dari Sepanyol itu memberi amaran kepada kelab luar yang berminat dengan pemain itu dengan menyatakan bayaran £86 juta (RM463) juta oleh Real Madrid kepada Gareth Bale belum cukup untuk membawa keluar Barkley dari Goodison Park.
“Ross mengutamakan kariernya, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasinya dan di sinilah tempatnya untuk dia mencapai impian itu,” kata Martinez.
“Kedua dia adalah penyokong setia Everton dan gembira setiap saat bersama kelab ini.
Dan yang ketiga kami sudah mengharungi separuh musim dan kami tidak mahu sebarang gangguan dalam pasukan.
“Ia bukan waktu yang sesuai untuk pemain atau kelab memikirkan mengenai perkara itu.
“Walaupun kami mendapat bayaran besar seperti Gareth Bale, kami tidak akan mempertimbangkan sebarang tawaran pada tempoh perpindahan pemain pada Januari ini.” Everton kini berada di tangga kelima Liga Perdana, dua mata di belakang pendahulu Liverpool dan bakal melayan kunjungan Sunderland pada perlawanan Khamis ini.- AFP
Hmetro.com.my