Saturday, 28 December 2013

Wenger Puji Mentaliti Pemain



London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji kemantapan mental pasukannya selepas mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menundukkan West Ham 3-1, namun mengakui mereka membuatnya bimbang.
Selepas menguasai babak pertama di Upton Park, Arsenal ketinggalan menerusi gol Carlton Cole, namun bertindak balas menerusi dua gol Theo Walcott dan Lukas Podolski.
“Saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan, tapi saya juga bimbang,” kata Wenger.
“Itulah adat permainan.

Anda sering gementar.
“Saya bangga dengan karakter pasukan ini kerana mereka sering fokus dan cuba bertindak bagus.

Mereka bertindak balas, tapi bola sepak tetap bola sepak.” Kekuatan mental Arsenal musim ini jauh berbeza daripada kempen terdahulu dalam Liga Perdana dan mungkin membantu usaha mereka menamatkan kemarau trofi.
“Kami tidak berjaya menyempurnakan peluang pada babak pertama dan kami bertindak balas dengan baik pada babak kedua, akhirnya memenangi perlawanan ini dengan penuh bergaya,” jelas Wenger.
“Positifnya kami mencipta peluang.

Negatifnya kami tidak menyempurnakannya.

Kadang kala pasukan rasa bersalah kerana tidak menggunakan peluang yang dicipta.” Satu perkara negatif buat Wenger adalah kecederaan dialami Aaron Ramsey, salah seorang pemain musim ini yang mampu mencabar penyerang Liverpool, Luis Suarez bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan.
“Ia kelihatan seperti kekejangan paha,” kata Wenger.
“Saya tidak tahu bagaimana seriusnya kekejangan paha tapi tempoh Krismas pasti berakhir buatnya.

Ia hari jadi ke-23 buatnya hari ini (kelmarin).” Namun satu perkara positif buat Wenger adalah kembalinya Podolski daripada kecederaan hamstring.- AFP
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets