London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers hanya mampu iri hati terhadap skuad lawannya selepas kekalahan kedua dalam tempoh empat hari menggugat usaha mencabar kejuaraan liga dan menyebabkan beliau kini terpaksa memikirkan nasib pasukannya.
Kelab Merseyside itu berada di puncak Liga Perdana pada hari Krismas namun kekalahan 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi semalam, selepas tewas kepada Manchester City dengan jaringan sama, menyebabkan mereka menjunam ke kedudukan kelima.
Mereka tampil memberikan saingan sengit dan mendahului dalam kedua-dua perlawanan itu namun tidak mempunyai pemain di bangku simpanan yang berupaya memberi nafas baru kepada permainan mereka.
“Kami tidak mampu mengharungi dua perlawanan yang sukar menentang dua pasukan yang lebih hebat. Skuad kami amat kecil ketika ini,” kata Rodgers.
“Ketika menentang Manchester City, kami adalah pasukan yang lebih baik dan hari ini (awal pagi semalam), selepas mendahului kami membenarkan jaringan yang mengecewakan untuk lawan.
“Pemain sudah memberikan yang terbaik. Jika satu atau dua perkara memihak kepada kami, keputusan mungkin berbeza. Sejak permulaan musim ini, skuad ini sangat kecil dan kami memerlukan sedikit tuah dengan tiada siapa mengalami kecederaan, hinggalah empat minggu lalu ia tidak memihak kepada kami.” Ketika kapten Steven Gerrard dan penyerang Daniel Sturridge sudah tersisih, mereka mendapat berita lebih buruk dengan pemain pertahanan Mamadou Sakho dibayangi kecederaan hamstring dan pemain tengah Joe Allen terpaksa dikeluarkan.
Liverpool kini sudah menentang semua empat pasukan teratas di gelanggang lawan dan tiga perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan yang berada di kedudukan 10 atau di bawah dengan keputusan yang baik akan membawa mereka kembali dalam pemburuan kejuaraan liga. - Reuters
Hmetro.com.my