Alor Setar: Pemain Kedah perlu menggunakan kesempatan beraksi di
Stadium Darulaman pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja Proton malam ini
selepas gagal memenanginya di Ipoh musim lalu.
Ketua jurulatih Hussain Jaafar berkata, kini terserah kepada
pemainnya untuk menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri berdepan Perlis
dengan sokongan ribuan peminat setia mereka.
“Saya yakin pemain saya mengetahui hanya satu lagi kemenangan
bagi mereka menjulang Piala Emas Raja-Raja selepas kejayaan pada 2005 dengan
mengatasi Kelantan 1-0 di Kota Bharu.
“Anak Buah saya berjaya mengatasi segala cabaran untuk layak ke
perlawanan akhir dan mereka mengetahui inilah perlawanan penentu dan mereka
pasti akan memberikan prestasi terbaik untuk menceriakan peminat setia pasukan
serta Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK).
“Bagi diri saya sendiri, ini juga akan menjadi satu sejarah
dalam karier saya sebagai ketua jurulatih pasukan Piala Emas kerana inilah
pengalaman pertama saya memikul tugas ini pada pertandingan sebesar ini,” kata
Hussain.
Hmetro.com.my