London: Pengurus sementara Tottenham Hotspur Tim Sherwood mengakui tidak pasti dengan masa depannya apabila menyedari krisis kelab utara London semakin memuncak selepas kekalahan 2-1 di gelanggang sendiri kepada West Ham United dalam aksi Piala Liga semalam.
Tottenham yang memecat pengurus Andre Villas-Boas Isnin lalu berikutan kekalahan memalukan 5-0 di tangan Liverpool di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana masih belum mengadakan perbincangan bersama Sherwood mengenai peranan barunya.
“Saya mendapat panggilan telefon dari pengerusi pada jam 10:15 yang meminta saya mengendalikan latihan skuad utama. Bagaimanapun, perancangan jangka panjang tidak dibincangkan,” kata Sherwood.
“Saya akan berbincang dengan pengerusi. Anda pasti menjangkakan banyak nama yang disenaraikan untuk memegang jawatan kerana ini kelab yang besar tapi pengerusi perlu membuat keputusan tepat dan mencari pengurus yang sesuai bagi membawa kelab ke depan,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau berminat dengan posisi itu, Sherwood yang pernah ditugaskan bersama skuad pembangunan berkata: “Keputusan itu perlu memberi kebaikan kepada saya dan kelab.” Sherwood juga tidak pasti sama ada beliau akan mengendalikan Tottenham bagi kunjungan ke Southampton Ahad ini.
Dengan prestasi pasukan itu semakin goyah, Sherwood berasa keputusan pantas perlu diambil. - Reuters
Hmetro.com.my