Friday, 20 December 2013

' Mesti Profesional '

Seremban: “Saya serius nak tebus maruah pasukan Negeri Sembilan yang tercalar dan begitu buruk pada musim 2013, apabila orang memandang rendah pada pasukan kita. Sebab itu saya ambil keputusan menjadi pengurus pasukan kerana mahu melihat sendiri prestasi sepanjang perlawanan musim depan,” kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), mengulas pelantikannya sebagai pengurus pasukan bola sepak Negeri Sembilan bagi saingan Liga M musim depan.

Sambil melahirkan rasa kecewa atas prestasi buruk skuad Hoben Jang Hoben hingga terjerumus ke kancah Liga Perdana beliau berkata, pihaknya tidak boleh berdiam diri dan mahu pegawai dan pemain yang dipilih bersikap profesional untuk memastikan misi mengembalikan maruah pasukan tercapai.
Justeru katanya, PBNS membuat perubahan besar dari segi barisan pegawai dan pemain dengan menyenaraikan hampir 80 peratus muka baru selain mengikat kontrak empat pemain import iaitu penyerang, Jozef Kaplan dari Slovakia dan Jean-Emmanuel Effa Owona (Cameroon) serta dua pemain pertahanan, Kim Jin Ryong (Korea Selatan) dan bekas kapten pasukan kebangsaan Haiti, Jean Marc Elexandre.

Beliau juga turut melantik tiga individu sebagai penolong pengurus iaitu Datuk Abd Halim Abd Latif, Datuk Mohd Najeeb Abdullah dan Datuk Abdul Ghani Hasan.

“Saya tidak mahu lagi maruah pasukan terus tercalar akibat sikap pemain yang beraksi sambil lewa, sebaliknya mahu mereka bersikap profesional dan mana-mana pemain yang baik bakal menerima ganjaran manakala yang gagal akan disingkirkan.
Foto
MOHAMAD (kiri) bersalam dengan pemain Negeri Sembilan.
“Saya mahu pasukan ini dibina semula dan berada pada kedudukan sebelum ini yang pernah menjuarai liga utama dan Piala Malaysia,” katanya pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain musim 2014, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mat Ali Hassan, ketiga-tiga penolong pengurus dan ketua jurulatih, V Sundramoorthy.
Menurut Mohamad, PBNS akan turut menguatkuasakan peraturan iaitu laporan prestasi pemain perlu dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan PBNS dua hari selepas perlawanan untuk penilaian.

“Bagi pemain yang gagal menyerlah dan yang menerima kad kesalahan akan dipanggil jawatankuasa terbabit dan seterusnya jika didapati melakukan kesalahan bakal dikenakan hukuman termasuk gaji bulanan dipotong,” katanya.

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets