London: Jose Mourinho mengakui sudah mula merasai tekanan gara-gara prestasi tidak menentu dipamerkan Chelsea menjelang kunjungan skuadnya ke Arsenal untuk perlawanan penting Isnin ini.
Mourinho semakin tertekan berikutan ketumpulan penyerang Chelsea tetapi pengurus Blues itu gagal mencari penyelesaian terhadap masalah yang menjejaskan peluang pasukannya mencabar kejuaraan.
Kombinasi Fernando Torres, Samuel Eto’o dan Demba Ba hanya menjaringkan lima gol peringkat liga musim ini membuatkan Mourinho buntu menyelesaikan isu itu dan berusaha mendapatkan penyerang baru pada musim perpindahan Januari.
Beberapa pemain termasuk penyerang Zenit Saint Petersburg, Hulk dan penyerang Atletico Madrid, Diego Costa dikatakan bakal berpindah ke Chelsea tetapi Mourinho perlu memperbaiki prestasi bermula dengan perlawanan paling penting di Stadium Emirates Isnin ini.
Kemenangan Liverpool yang berada di tangga kedua ke atas Cardiff di Anfield hari ini akan menyingkirkan Arsenal daripada tangga teratas sementara keputusan antara Gunners dan Chelsea akan dilihat sebagai penanda kelab mana yang memiliki kemampuan lebih baik terus bertahan dalam persaingan merebut takhta liga.
Kemenangan buat Arsenal akan meletakkan mereka mendahului lima mata di depan Chelsea yang berada di tangga ketiga.
Masalah buat Chelsea terus bertambah parah berikutan penyingkiran mengejut pada suku akhir Piala Liga di tangan Sunderland pada pertengahan minggu ini.
Dalam keadaan seperti itu, Mourinho hanya dapat menebus kekecewaan sekiranya penyerang skuadnya mampu menjaringkan gol dan beliau berkata: “Apabila gagal menjaringkan gol, alasan diberikan sentiasa sukar dipercayai.
“Sekalipun sekadar melihat dari bangku simpanan, saya dapat merasakan tekanannya.
“Saya dapat rasakan setiap kali melepaskan peluang, kami akan menerima padah selepas itu. Inilah masalah utama kami sekarang.
“Kami mencipta peluang, menguasai bola, sentiasa berasa sangat selesa berada di atas padang, kami memiliki peluang menjaringkan gol untuk menyudahkan perlawanan itu tetapi kami tidak menyempurnakannya.” Arsenal akan beraksi tanpa pemain tengah England, Jack Wilshere selepas digantung dua perlawanan kerana menunjukkan isyarat lucah terhadap penyokong Manchester City ketika mereka dibelasah 6-3. - AFP
Hmetro.com.my