Saturday, 21 December 2013

Nazri Milik TRW


BEKAS pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Muhamad Nazri Ahmad kini boleh menarik nafas lega dan kembali fokus terhadap pasukan baharunya, Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Ia berikutan kes membabitkan beliau dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjaya diselesaikan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di luar perbicaraan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ini, pihak FAS mendakwa Muhamad Nazri telah menandatangani kontrak bersama mereka namun pemain berusia 23 tahun itu dikatakan membuat ‘pusingan U’ dengan menyertai The Red Warriors.
Tindakan tersebut sekali gus mencetuskan kemarahan di kem Selangor dan mahu mengheret pemain tersebut ke muka pengadilan. Jika didapati bersalah, Muhamad Nazri sendiri boleh digantung selama setahun.
TIDUR LENA
Apa yang pasti, Muhamad Nazri kini boleh tidur lena dan memikirkan peluang beliau untuk kembali bersaing dengan rakan sepasukan baharu dalam pasukan Kelantan sebelum sepak mula saingan Liga-M bermula 17 Januari depan.
Peluang buat bekas pemain yang pernah menyarung jersi Johor dalam Liga Premier itu untuk berada dalam kesebelasan utama tampak lebih cerah setelah beberapa tonggak musim lalu kini tidak bersama Kelantan.
Namun, beliau perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan jurulatih, Steve Darby sambil membuktikan kepada penyokong Kelantan bahawa kehadirannya di Kota Bharu biar pun dipalit kontroversi sebelum ini tetap memberi impak kepada pasukan pantai timur itu.
CARA BAIK
Tindakan pihak FAS menamatkan polemik tersebut dengan cara baik wajar diberi pujian. Tiada sengketa di antara FAS dan Kafa sebenarnya kerana kedua-dua persatuan bola sepak negeri itu mempunyai hubungan cukup baik selama ini.
Yang pastinya, insiden yang berlaku ke atas Muhamad Nazri perlu dijadikan iktibar buat semua pemain bola sepak tempatan agar lebih berhati-hati dalam menyelesaikan urusan kontrak mereka.
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets