London: Pengurus Tottenham Tim Sherwood mahu meneruskan corak permainan menyerang yang diamalkan apabila menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi Khamis ini.
Sherwood meraih kemenangan pertama sebagai pengurus sepenuh masa selepas menggantikan Andre Villas-Boas dengan menewaskan Stoke 3-0 dalam saingan Liga Perdana di White Hart Lane awal pagi semalam.
Jaringan penalti Roberto Soldado pada minit ke-37, diberikan apabila kapten Stoke Ryan Shawcross menghalang aksi akrobatik Emmanuel Adebayor menggunakan tangannya, memberikan jaringan pendahuluan untuk Tottenham pada separuh masa pertama.
Kemenangan berjaya dipastikan menerusi dua jaringan dalam tempoh empat minit selepas babak kedua bersambung hasil jaringan Mousa Dembele dan Aaron Lennon yang menggegar gawang.
Sherwood, yang memimpin Spurs meraih kemenangan dalam satu daripada dua perlawanan sebagai pengurus sementara, mengabaikan formasi berhati-hati diamalkan Villas-Boas yang hanya menggunakan seorang penyerang dengan membawa kembali penyerang Togo, Adebayor yang sering tersisih sebelum ini, antara dua pemain yang diletakkan di bahagian serangan.
United memenangi enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan namun Sherwood menjelaskan beliau tidak akan bertandang ke Manchester pada hari tahun baru untuk bertahan dengan harapan meraih keputusan seri.
“Saya suka bermain dengan risiko,” katanya. “Kami menghormati mereka namun kami tidak akan memberikan laluan mudah. Kami perlu tampil dan mempamerkan permainan kami sebaik mungkin.
“United sudah berubah sepenuhnya, mereka berada pada prestasi baik. Berdasarkan sejarah kita mengetahui kemampuan mereka apabila berada pada tahap terbaik.” - AFP
Hmetro.com.my