Kangar: Pengurusan skuad Perlis mahu setiap pemain yang diturunkan bagi menggalas cabaran di pentas akhir berdepan Kedah pada saingan Piala Emas Raja-Raja 2013 pada Ahad ini mampu memanfaatkan sebaik mungkin bagi merealiasasikan impian membawa pulang kejuaraan.
Pengurus pasukan Prof Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, peluang itu tidak seharusnya disia-siakan selepas kali terakhir melakukannya empat tahun lalu dengan tampil hebat, bersemangat dan komitmen tinggi bagi melakar kejayaan.
Katanya, impian menjulang kejuaraan tidak mampu direalisasikan tanpa barisan terbaik, bersemangat dan memiliki kesungguhan tinggi di samping keazaman semua yang terbabit bagi mengulangi kejayaan pada 2009 lalu.
“Saya percaya dengan keupayaan pasukan di bawah kendalian Norizan Bakar untuk menggalas misi itu bagi menobatkan kembali Perlis selaku juara Piala Emas Raja-Raja musim 2013 ini.
“Berbanding beberapa tahun lalu, ini adalah peluang terbaik bagi pasukan untuk memastikan impian memenangi kejuaraan itu menjadi kenyataan,” katanya tanpa sesekali menafikan bahawa Kedah juga sudah pasti memiliki impian atau misi sama.
Beliau berkata, Kedah yang kini dibawah kendalian bekas penyerang Kedah dan kebangsaan Hussain Jaafar sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah untuk Perlis melakar kejayaan selepas dikecewakan Perlis, empat tahun lalu.
“Kita berharap barisan pemain yang menggalas cabaran pada pertemuan itu mampu mempamerkan prestasi memberangsangkan sekali gus mengulangi pencapaian 2009 dengan menewaskan lawan sama di Alor Setar untuk dinobatkan selaku juara Piala Emas Raja-Raja musim itu,” katanya.
Katanya, paling penting semua pemain yang diamanahkan membawa cabaran pada pertemuan itu perlu fokus terhadap permainan dan berusaha memberikan aksi terbaik.
“Kita percaya berdasarkan prestasi dipamerkan sejak bermula saingan hingga ke separuh akhir, tidak mustahil impian itu mampu direalisasikan untuk sekali lagi `mengejutkan’ Kedah untuk menjulang kejuaraan pada perlawanan akhir 29 Disember ini,” katanya.
Hmetro.com.my