Saturday, 21 December 2013

Dzeko Yakin Isi Kekosongan

London: Edin Dzeko yakin mampu membantu Manchester City mencabar kejuaraan Liga Perdana ketika kelab itu terpaksa melupakan khidmat Sergio Aguero yang mengalami kecederaan.
Aguero dilanda kecederaan betis ketika City mencatat kemenangan 6-3 ke atas Arsenal minggu lalu dan dijangka berehat hingga lapan minggu.

Penyerang Argentina itu sudah menjaringkan 19 gol musim ini dan disahkan tidak akan beraksi menentang Fulham di gelanggang lawan hari ini.
Dzeko jarang diturunkan pengurus City Manuel Pellegrini meskipun pernah menyatakan pemain itu akan memainkan peranan lebih penting berbanding ketika di bawah kendalian Roberto Mancini.

Namun, pemain antarabangsa Bosnia itu menjaringkan dua gol ketika City melakar kemenangan 3-1 ke atas Leicester pada aksi suku akhir Piala Liga, Selasa lalu dan dia berharap akan diberi peluang untuk menyerlah apabila bergandingan bersama Alvaro Negredo.

“Prestasi Sergio sangat hebat musim ini dan dia pemain penting buat kami,” kata Dzeko.
“Inilah kehidupan dan kami sekarang perlu beraksi tanpanya dan berusaha meraih kemenangan.

“Ini berita buruk buat pasukan tapi masih ada ramai pemain yang sedia untuk bermain.
“Saya gembira kerana dapat menjaringkan dua gol ketika menentang Leicester kerana itu tugas saya. Saya harap akan dapat terus menyumbang gol. Apabila bermain, saya akan berusaha untuk berbuat demikian.

“Saya seorang penyerang yang sudah menjaringkan banyak gol dan gembira melakukannya.

“Bila mendapat peluang, saya akan cuba melakukan yang terbaik. Kami mempunyai skuad yang mantap dan kebelakangan ini kami menjaringkan banyak gol.” Kemenangan ke atas Fulham hari ini akan membolehkan City berkongsi mata dengan pendahulu Arsenal yang hanya akan beraksi menentang Chelsea Isnin ini.

Pemain tengah James Milner, percaya jadual padat pada musim perayaan Krismas tempoh penting bagi mereka mencabar kejuaraan.

“Ia waktu yang kritikal apabila anda mengharungi perlawanan berturut-turut dalam tempoh singkat. Amat penting untuk kami mendapat keputusan yang baik,” kata Milner mengenai jadual padat termasuk pertemuan dengan Liverpool dan Crystal Palace di laman sendiri.

“Kedudukan liga selalunya berubah selepas Krismas. Ia waktu penting dan kami harap dapat memberi tekanan kepada pencabar.” Pemain pertahanan Fulham John Arne Riise yakin kelab barat London itu mampu mencipta kejutan ke atas City walaupun bekas bintang Liverpool itu mengakui perlawanan seterusnya menentang pasukan bawahan bakal menentukan sejauh mana peluang Cottagers mengelak daripada tersingkir.

Skuad kendalian Rene Meulensteen itu kini menduduki tangga kedua terbawah dan akan menentang Norwich, Hull serta West Ham United selepas perlawanan dengan City.

“Orang ramai tidak menjangka kami akan mengatasi City tapi akan membuat persediaan dan berusaha meraih kemenangan,” kata Riise. - AFP

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets