Milan: Usaha AC Milan untuk merapatkan diri dengan pendahulu Serie A, Juventus, Roma dan Napoli berdepan satu lagi halangan apabila terpaksa mengatasi musuh setempat, Inter.
Selepas aksi permulaan hambar, Milan hanya menduduki pertengahan liga tetapi ketinggalan 24 mata di belakang Juventus dan lebih membimbangkan, mereka ketinggalan 16 mata di belakang Napoli yang menduduki slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.
Peluang Milan menamatkan musim di kedudukan tiga teratas dilihat agak tipis dan penjaga gol Christian Abbiati mengakui kemenangan pada aksi terakhir Rossoneri sebelum liga berhenti rehat sangat penting.
“Pertemuan menentang Inter sangat ditunggu dan kami perlu menang. Keperluan kami lebih besar berbanding Inter,” kata Abbiati. “Kami perlu bertahan dengan 11 pemain pada pertemuan itu nanti.” Pertemuan setempat itu antara perlawanan penting sebelum Krismas tetapi gelanggang San Siro yang dikongsi kedua-dua pasukan pasti tidak dipenuhi peminat.
Inter yang menduduki tangga kelima, ketinggalan 15 mata di belakang Juve dan tujuh mata di belakang Napoli. Ada bahagian stadium itu akan ditutup sebagai hukuman apabila penyokong mereka didapati bersalah melakukan provokasi terhadap penyokong Napoli pada perlawanan sebelum ini.
Jurulatih Inter, Walter Mazzarri berkata: “Saya tidak fikir apa yang berlaku memberi imej baik kepada perlawanan kami.” Begitupun, pengendali Nerazzurri itu hanya mahu menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku di atas padang.
Tewas pada perlawanan pertama sebelum ini membuatkan mereka sedar kemenangan akan membantu pemain melonjakkan semangat masing-masing yang hanya mengumpul tiga mata hasil empat perlawanan terakhir. - AFP
Hmetro.com.my