Madrid: Barcelona perlu beraksi tanpa Neymar dan Lionel Messi ketika berkunjung ke Getafe esok sedangkan mereka terdesak menamatkan 2013 di kedudukan teratas La Liga.
Neymar yang baru mencapai puncak prestasi dengan jaringan gol buat kali pertama sejak berpindah dari Santos, meledak enam gol dalam tiga perlawanan terakhir Barca.
Bintang Brazil itu diberi cuti lebih awal untuk pulang ke tanah air meraikan Krismas selepas digantung akibat menerima kad kuning kelima musim ini ketika menang 2-1 ke atas Villareal.
Sementara Messi pula masih dalam proses pemulihan akibat masalah hamstring sekali gus tumpuan kini terarah kepada Cesc Fabregas, Pedro Rodriguez dan Alexis Sanchez untuk menjaringkan gol bagi memastikan Barca kekal di puncak.
Pedro yang terancam sejak kehadiran Neymar dan kedudukan Sanchez yang berada di puncak prestasi ketika ini sedikit melegakan jurulatih Gerardo Martino.
“Apabila kurang beraksi, anda akan berasa kurang penting. Ia memang benar kerana setiap pemain akan merasakan perkara itu,” katanya.
“Saya perlu berjuang dan terus mencuba mencapai objektif untuk kekal di Barcelona.” Barca mendapat suntikan semangat Khamis lalu apabila menerima perkhabaran Andres Iniesta bersetuju menandatangani kontrak lanjutan di kelab itu sehingga 2018.
Ketika Fabregas dijangka memainkan sembilan peranan berbeza, Iniesta pula perlu berada dalam kesebelasan untuk memperkuat jentera tengah bersama Xavi Hernandez dan Sergio Busquets.
Getafe juga bakal menjadi lawan Barca pada Piala Raja Sepanyol selepas kedua-dua pasukan melepasi pusingan keempat pada pertengahan minggu lalu.
Pemain tengah, Angel Lafita mengakui pasukannya memiliki kelebihan berbanding skuad Catalan pada perlawanan kalah mati berbanding dua pertemuan sebelumnya namun, mereka langsung tidak terpengaruh dengan ketiadaan Neymar serta Messi.
“Dalam satu perlawanan, macam-macam boleh terjadi. Namun apabila ia menjadi perlawanan yang membabitkan 180 minit, biasanya prestasi konsisten amat penting.
“Dalam aspek itu, Barcelona amat kuat, mereka yang terbaik dalam Liga Sepanyol, sebab itu saya berasa kami memiliki lebih peluang di luar liga.” - AFP
Hmetro.com.my