Tentu ramai yang sedar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
baru-baru ini memberi penghormatan kepada beberapa bekas Setiausaha Agung
sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.
FAM
percaya anugerah itu membawa erti yang besar kepada mereka yang pernah memberi
khidmat terbaik masing-masing ketika memegang jawatan cukup mencabar itu.
Tidak
keterlaluan jika saya katakan bahawa Setiausaha Agung FAM adalah nadi utama
bola sepak Malaysia. Ia bukan sekadar penjaga kepada Wisma FAM, tetapi tugas
Setiausaha Agung turut merangkumi hampir semua perihal bola sepak di seluruh
negara – daripada kerja surat-menyurat, dasar teknikal, kerjasama semua agensi
pelaksana, pemegang kepentingan di peringkat negeri sehinggalah hubungan
antarabangsa.
Sejak perang dunia kedua, sembilan individu sudah dilantik memegang jawatan yang saya anggap sebagai nadi utama pentadbiran bola sepak negara itu.
Sejak perang dunia kedua, sembilan individu sudah dilantik memegang jawatan yang saya anggap sebagai nadi utama pentadbiran bola sepak negara itu.
Mereka ialah AR Singam (1940-48), SCE Singham (1948-1951), Datuk Kwok Kin Keng (1951-1979), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan (2000-2005), Datuk Seri Dr Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007-2013) sebelum saya sendiri mengambil alih jawatan berkenaan pertengahan tahun ini.
Semua bekas Setiausaha Agung pasti ada ceritanya sendiri, suka dan duka dalam menjalankan tugas mereka.
Mengikut zaman dan keadaan dari semasa ke semasa, saya percaya pendahulu saya menempuh era berbeza, cabaran berlainan dengan tekanan dan tuntutan berbeza.
Landskap zaman Datuk Kwok Kin Heng dalam mengatur urus setia FAM tentunya berlainan dengan era hari ini. Ketika itu, FAM diterajui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj manakala Ahli Jawatankuasa tertinggi FAM pula dianggotai orang besar kerajaan.
Bola sepak diurus individu yang ghairah meminati bola sepak tetapi disokong sepenuhnya ahli politik dan pegawai kerajaan berhemah tinggi dan budiman dalam sama-sama merangka dasar.
Era semi-pro muncul pada 1989 dengan Datuk Paul Mony yang kini kurang sihat, sebagai penggerak utama selaku Setiausaha Agung FAM.
Pengalaman menjadi sebahagian daripada ahli majlis FAM dan juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendedahkan saya kepada corak pentadbiran empat Setiausaha Agung – Datuk Paul Mony, Datuk Dell, Datuk Seri Ibrahim dan Datuk Azzuddin.
Kita tidak boleh melupakan jasa-jasa mereka. Apabila saya diberi kepercayaan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah untuk menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM ini, saya sedar cabaran yang harus dilalui.
Hari ini semua orang adalah pengkritik dan badan sukan yang paling mudah dikritik serta menjadi tumpuan tentu sekali FAM kerana ia adalah badan induk yang menjaga sukan nombor satu negara.
Media sosial adalah antara ruang paling besar untuk masyarakat dan pemerintah membuat komen sama ada bernas atau sekadar meluahkan kemarahan.
Setiap keputusan, dasar dan kenyataan pihak FAM akan dianalisis dan dikaji. Kesalahan akan diperbesarkan tetapi yang betul lazimnya tidak dihebohkan.
Namun, FAM tetap mengambil positif semua teguran dan pandangan pihak lain.
Yang penting, pembuat dasar FAM harus ikhlas dalam melaksanakan tugas atas nama institusi bukan individu.
Hmetro.com.my