Friday, 20 December 2013

Real , Atletico Mara

Madrid: Real Madrid melangkah ke kelompok 16 pasukan terakhir saingan Copa del Rey selepas menang 2-0 ke atas Olimpic Xativa di Santiago Bernabeu, semalam.
Tanpa khidmat Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo yang cedera serta digantung, pengurus Real Carlo Ancelotti menurunkan barisan pemain muda walaupun skuad sama diikat seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama, 10 hari lalu.

Eksperimen pengendali kelahiran Itali itu berbaloi apabila Asier Illaramendi menjaringkan gol pertama sebelum sepakan penalti yang disempurnakan Angel di Maria memberikan kelebihan 2-0.Real gagal menambah jaringan pada babak kedua tetapi mereka juga tidak diancam pasukan pelawat sekali gus menempah tiket untuk bertemu Osasuna di pusingan berikutnya.

“Kami memulakan aksi dengan baik tetapi permainan berubah perlahan selepas kami mendahului 2-0. Persembahan kami menurun di babak keduadan saya tidak sukakan perkara itu,” kata Ancelotti.

Dan bekas pengurus Chelsea itu menekankan betapa pemain seperti Jese Rodriguez dan Alvaro Morata perlu menggunakan sepenuhnya peluang beraksi gara-gara ketiadaan Ronaldo dan Bale untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Bukan mudah untuk saya menyediakan pasukan memandangkan kami membuat banyak perubahan. Beberapa pemain yang tidak kerap diturunkan memerlukan masa untuk menyinar.

“Secara keseluruhan, pemain muda perlu bekerja lebih keras kerana beraksi untuk Real bukanlah mudah. Mereka perlu menyediakan diri masing-masing kerana musim ini, kami akan menggunakan banyak khidmat pemain muda.” Sementara itu, Atletico Madrid dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan kelab kerdil, Sant Andreu 2-1 sekali gus menyaksikan mereka layak menerusi agregat 6-1.
Alberto Carroza menjaringkan gol buat pasukannya dan ia adalah jaringan lawan yang pertama berlaku di gelanggang Atletico sejak awal Oktober lalu.

Atletico berusaha untuk bangkit menyamakan kedudukan selepas Alberto Carroza menjaringkan gol buat pasukannya tetapi jaringan Jose Gimenez dibatalkan kerana ofsaid manakala penalti yang diambil Adrian Lopez gagal menghasilkan gol.

Dengan kelebihan besar hasil perlawanan pertama, pengurus Atletico, Diego Simeone menurunkan ramai pemain muda termasuk Hector Hernandez, 18.

Penyerang muda itu membalas kepercayaan jurulatih apabila menanduk masuk hantaran lintang Adrian ketika permainan berbaki 12 minit. Toby Alderweireld menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan percuma Gabi pada minit terakhir perlawanan.

Atletico akan bertemu Valencia atau Gimnastic pada pusingan kalah mati nanti.

Racing Santander memberikan kejutan pada saingan itu kerana berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama untuk menang 2-0 ke atas Sevilla.

Real Sociedad akan menentang Villarreal di kelompok 16 pasukan terakhir apabila menang 4-0 ke atas Algeciras.hasil jaringan Javi Ros, Haris Seferovic, Antoine Griezmann dan Carlos Vela sekali gus melangkah dengan agregat 5-1.

Almeria dan Real Betis turut layak walaupun sekadar seri ketika menentang Las Palmas serta Lleida. - AFP

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets