Rome: AC Milan mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara biarpun sekadar seri 0-0 dengan Ajax, namun awal pagi semalam menjadi hari malang buat bola sepak Itali apabila dua lagi kelab, Juventus dan Napoli tersingkir.
“Kami bangga kerana layak, sepatutnya pasukan senegara lain turut mara.
Malangnya mereka gagal, amat mengecewakan,” kata penyerang Milan, Mario Balotelli.
Juventus hanya memerlukan satu mata ketika bertandang ke Galatasaray, namun mereka terhumban di Istanbul apabila bekas pemain tengah Inter Milan, Wesley Sneijder meledak jaringan pada minit ke-85 sebelum perlawanan berlangsung pada Selasa itu ditunda kerana salji lebat.
Kedua-dua pasukan bergelut di atas padang yang becak dan licin sekali gus mengganggu kelancaran melakukan hantaran menyaksikan pemain memilih melakukan hantaran jauh.
“Kami terpaksa bermain bola di atas padang berlumpur,” kata pengurus Juventus Antonio Conte.
“Apa yang membuatkan kami kecewa adalah pengadil menggantung perlawanan kerana berbahaya untuk beraksi di atas padang sebegitu namun hari ini, bahaya yang mengancam semalam dikatakan tidak lagi wujud biarpun padang dalam keadaan sama.
“Mungkin saya perlu meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris kerana pegawai perlawanan seolah-olah tidak memahami apa yang mahu saya utarakan.” - Reuters
#hmetro.com.my
#hmetro.com.my